fbpx
Now Reading
Tular Klip CCTV, Usahawan Merangkap Ejen Produk Kosmetik Dibawa Lari 3 Lelaki Naik Vios [Video]
Usahawan ejen kosmetik dibawa lari

Tular Klip CCTV, Usahawan Merangkap Ejen Produk Kosmetik Dibawa Lari 3 Lelaki Naik Vios [Video]

Mangsa yang juga ejen kosmetik telah membuka pintu apabila pintu diketuk sebelum dibawa lari oleh sekumpulan lelaki itu dengan menaiki kenderaan Toyota Vios.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita yang merupakan usahawan ejen produk kosmetik disyaki telah dibawa lari oleh tiga individu lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, pada petang semalam (13 September).

Memetik laporan Harian Metro, wanita bernama Rosnazirah Mohd Naim berusia 36 tahun itu telah dilarikan dengan menggunakan kenderaan Toyota Vios oleh tiga individu yang tidak dikenali pada jam 4.10 petang.

Tiga lelaki datang beri salam sebelum pintu dibuka mangsa

Jelas warisnya yang enggan dikenali, sekumpulan lelaki berkenaan telah hadir ke kediaman mangsa sebelum salah seorang darinya bertindak untuk mengetuk pintu serta memberi salam, kemudian dibuka oleh Rosnazirah.

“Lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi dan dia mengiyakan sebelum terus mengheretnya keluar untuk dimasukkan dalam kereta.

“Tiga lelaki itu turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah selain mengugut akan mengapa-apakan mereka jika membuat sebarang tindakan.

“Bapa mangsa yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba untuk menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu mengacukan sebilah pisau rambo menyebabkan warga emas itu berundur dan hanya melihat mangsa dilarikan,” jelasnya lagi ketika dihubungi media, hari ini (14 September).

Didakwa sudah dibawa ke sempadan negara jiran

Kata waris lagi, berdasarkan maklumat yang diterima oleh pihaknya mendakwa Azi sudah dibawa ke arah Pengkalan Kubor di kawasan sempadan negara jiran yang membuatkan suaminya turut segera ke lokasi terbabit tetapi gagal menjumpai mangsa.

Menurutnya lagi, ada saksi yang terdiri dari penduduk di kawasan setempat mendakwa melihat seorang wanita telah dibawa oleh sekumpulan individu lelaki dengan menaiki bot ke negara jiran.

Kenderaan Toyota Vios yang dinaiki oleh mereka turut dijumpai di sebuah kawasan pangkalan haram di situ.

Suami mangsa masih belum pulang dari jejaki isteri

“Suami mangsa juga turut menjejakinya hingga ke negara jiran dan masih belum pulang sehingga ke hari ini.

“Apa yang kami tahu Azi tidak mempunyai musuh dan sehingga kini kami tidak menerima panggilan yang meminta wang tebusan… tapi tidak pastilah jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik.

“Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini dan pada masa sama kami turut membuat solat hajat selain berdoa agar Azi segera ditemukan dengan selamat,” kata waris itu.

Sebelum ini, tular satu video rakaman litar tertutup (CCTV) dari rumah Rosnazirah yang memaparkan kejadian mangsa ketika dibawa lari sebelum dikejar oleh suaminya.

Laporan sudah diterima, orang ramai dinasihat jangan buat spekulasi

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah memaklumkan sudah menerima laporan berhubung insiden tersebut.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta orang ramai untuk tidak melakukan sebarnag spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.