fbpx

Kesilapan Peguam Punca Najib Dalam Penjara, Kata Hakim Abdul Rahman

Keputusan majoriti 4-1 oleh panel hakim menyaksikan Najib terus dipenjara dan satu-satunya jalan yang dimilikinya kini ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada pagi tadi (31 Mac).

Keputusan majoriti 4-1 itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat selepas dipersetujui secara bersama oleh tiga lagi panel hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Baca artikel berkaitan: Najib Kekal Dipenjara, Mahkamah Persekutuan Buat Keputusan Majoriti 4-1 Tolak Permohonan Semak Kes SRC

Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Abdul Rahman Sebli ketika membacakan penghakiman menentangnya menyifatkan adalah tidak adil bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila dia terpaksa ‘membayar’ harga yang tinggi iaitu meringkuk dalam penjara hanya keran kesilapan yang dilakukan oleh peguamnya.

Malah beliau merasakan adalah wajar agar Najib dibebaskan dan dilepaskan kerana bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak diberikan perbicaraan yang adil dan kerana tiada representasi undang-undang, lapor Berita Harian.

Najib ada peluang ketika rayuan tahun lepas, tapi ia tidak berlaku

Jelas Abdul Rahman lagi, peluang Najib adalah untuk melihat peguam bela yang mewakilinya membuat sesuatu yang terbaik untuknya, namun semua itu tidak berlaku ketika pendengaran rayuan yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Katanya, sewaktu prosiding, peguam Najib iaitu Hisyam Teh Poh Teik tidak mengemukakan hujahan selepas memaklumkan kepada panel bahawa beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian, menjadikan ia didengar oleh satu pihak sahaja.

“Pemohon (Najib) langsung tidak diberi peluang untuk didengar dan perkara itu menyebabkan satu ketidakadilan yang sangat besar kepada dirinya. Dalam keadaan ini, pemohon berada dalam keadaan yang sangat tidak bernasib baik kerana tidak diwakili ketika prosiding rayuan akhir. Justeru, sabitan terhadap pemohon hendaklah dibatalkan kerana tiada representasi.”

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli

Tambah Abdul Rahman lagi, meskipun menyebelahi permohonan Najib, keputusan majoriti 4-1 menyebabkan perkara itu tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Najib akan terus kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang dan satu-satunya jalan yang dimilikinya kini ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.