fbpx
Now Reading
JAIM Cekup 2 Lelaki Cuba Beli Nombor Ekor, Guna Alasan Cari Duit Untuk Belanja Hari Raya

JAIM Cekup 2 Lelaki Cuba Beli Nombor Ekor, Guna Alasan Cari Duit Untuk Belanja Hari Raya

Siasatan kemudian mendapati mereka berdua tidak bekerja dan tinggal di kawasan berhampiran Masjid Tanah, Melaka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dua lelaki termasuk seorang warga emas ditahan ketika ingin membeli nombor ekor di sebuah premis di Masjid Tanah, Melaka pada Sabtu (1 April).

Mereka yang ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sewaktu operasi Perangi Jenayah Syariah (Perjasa) di sekitar Melaka kemudiannya menggunakan alasan mencari duit lebih untuk perbelanjaan raya.

Menurut pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat, individu berusia 52 dan 63 tahun dan beragama Islam itu berada di dalam premis menjual nombor ekor ketika pasukan penguatkuasa melakukan pemeriksaan.

Bahkan kedua-dua lelaki itu sedang berada di kaunter dan tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang sedang memerhatikan gerak-geri mereka.

“Dipercayai ketika itu mereka mungkin hendak membeli atau sedang berurusan namun sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa kedua-duanya bergegas meninggalkan kaunter tetapi berjaya ditahan penguatkuasa JAIM.

“Ketika ditahan dan disoal siasat, mereka memberi alasan berbuat demikian untuk mencuba nasib bagi mendapatkan duit lebih bagi perbelanjaan sambutan hari raya,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Menurut Kosmo pula, siasatan kemudian mendapati mereka tidak bekerja dan tinggal di kawasan berhampiran.

Berdepan denda RM1,000 atau penjara enam bulan

Mengulas lebih lanjut Che Sukri berkata, mereka yang disoal siasat bagaimanapun mengaku sedang berpuasa.

Tambah beliau lagi, kedua-dua individu terbabit kini berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Ketika ditanya sama ada berpuasa atau tidak, mereka mengaku berpuasa dan kemudiannya kedua-dua lelaki itu diberikan surat perintah hadir ke pejabat JAIM.

“Tiada sebarang rampasan dibuat selain mereka ini nanti akan diambil dan dirakam keterangan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (berjudi),” katanya.

Nombor ekor adalah haram

Menurut laman Mufti Negeri Sembilan, bermain nombor ekor adalah salah satu bentuk perjudian dan ianya haram di sisi agama.

Ianya berlandaskan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maa’idah : ayat 90)

Menerusi kenyataan sama, wang daripada sumber haram itu jika digunakan untuk apa sahaja tujuan, tetap jatuh haram.

“Duit haram itu adalah haram digunakan dan untuk dimanfaatkannya, membaiki kereta  dengan duit haram itu bermakna, telah memanfaatkan dan menggunakan duit haram.

“Kedua-dua sumber wang yang dinyatakan telah jelas; wang judi itu haram maka haram untuk digunakan, wang halal itu halal untuk digunakan dan dimanfaatkan,” kata kennyataan itu lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.