fbpx
Now Reading
Belum Sampai Setahun, Wanita Ulangi Perbuatan ‘Buang’ Bayi Di Hospital

Belum Sampai Setahun, Wanita Ulangi Perbuatan ‘Buang’ Bayi Di Hospital

Menurut pegawai JKM, tindakan wanita itu membuang bayinya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) menyebabkan masa depan kedua-dua bayinya menjadi tanda tanya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita berusia 27 tahun tergamak meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya di sebuah hospital di Johor Bahru.

Apa yang lebih mengejutkan, perbuatannya umpama ‘pisang berbuah dua kali’ memandang wanita itu sebelum ini pernah membuat perkara sama dalam tempoh kurang satu tahun pada anak pertamanya.

Terus hilangkan diri selepas tinggal bayi di hospital

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, wanita tempatan itu tanpa berfikir panjang terus menghilangkan diri selepas meninggalkan bayi lelakinya.

Menurutnya, bayi itu dinamakan sebagai Dharwin dan telah dilahirkan pada 17 Mac lalu di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kata Adnan, mengikut maklumat yang diterima, wanita itu meninggalkan bayi tersebut di wad A4 hospital terbabit

“Wanita itu pernah melakukan perbuatan sama apabila meninggalkan bayi lelaki yang dinamakan sebagai Damian di hospital selepas dilahirkan pada pertengahan tahun lalu,” katanya.

Masa depan Damian dan Dharwin jadi tanda tanya

Akibat perbuatan wanita itu, masa depan kedua-dua bayi berkenaan kini menjadi tanda tanya.

“Akibat perbuatannya, masa depan Damian menjadi tanda tanya dan kini adiknya ditimpa nasib sama. Ibu mereka gagal tampil membincangkan masa depan kedua-duanya sehingga kini,” katanya.

Jelas Adnan, Dharwin kini di jaga oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga JKM mengurus permohonan sijil kelahiran manakala Damian pula berada di bawah jagaan JKM selama tiga bulan dan kini di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

JKM harap wanita itu atau waris tampil bincang masa depan bayi-bayi terbabit

Dalam masa yang sama, JKM berharap agar wanita terbabit yang dikenali sebagai M Yugesshini yang berasal dari Negeri Sembilan atau warisnya tampil membincangkan masa depan kedua-dua bayi berkenaan.

“Perbuatan wanita itu menimbulkan kesulitan bagi permohonan sijil kelahiran selain dikhuatiri boleh menjejaskan masa depan dua beradik itu.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandung atau waris bayi itu diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 0111-7535394,” katanya dipetik Harian Metro semalam (9 Mei).

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.