Syarikat Ternama & Berjaya ‘Lenjan’ Budak Intern Secara Percuma Demi Jimat Kos Operasi – Syed Saddiq
Menurutnya, tindakan mengerah tenaga para pelajar praktikal tanpa membayar elaun terutamanya daripada syarikat ternama merupakan satu perkara yang memalukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Praktikal atau ‘internship’ merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh para penuntut di universiti awam, swasta mahupun kolej kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian.
Subjek ini dianggap penting kerana ia dapat melatih para bakal graduan untuk menghadapi situasi kerja sebenar selepas mereka tamat pengajian nanti.
Pun begitu, tidak dinafikan sesetengah syarikat mengambil kesempatan untuk kepentingan diri terhadap para pelajar pratikal ini.
Syarikat ternama kerah pelajar teknikal demi kurangkan kos operasi
Menerusi laporan Kosmo, terdapat syarikat swasta ternama yang sanggup mengerah tenaga pelajar praktikal untuk bekerja lebih masa dan pada hujung minggu secara percuma untuk mengurangkan kos operasi.
Pendedahan itu dilakukan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata pelatih industri sentiasa menjadi pilihan kerana syarikat tidak perlu mengeluarkan bayaran elaun atau wang saguhati.
“Ada organisasi swasta yang ternama dan berjaya, mereka ambil sepasukan ‘tentera’ anak muda untuk menjalani latihan industri tanpa dibayar elaun semata-mata untuk mengurangkan kos operasi syarikat,” katanya ketika dihubungi Kosmo baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan mengerah tenaga para pelajar praktikal tanpa membayar elaun terutamanya daripada syarikat ternama merupakan satu perkara yang memalukan.
Sehubungan itu, Syed Saddiq menggesa para pelatih industri yang berdepan masalah sedemikian untuk tampil bersuara.
Ada pelajar terpaksa mengikat perut dan berhenti praktikal kerana masalah kewangan
Ahli Parlimen Muar itu juga berkongsi pengalaman berdepan dengan beberapa pelajar yang terpaksa mengikat perut, malah lebih teruk terpaksa berhenti praktikal kerana masalah kewangan.
“Ada mahasiswa yang terpaksa menggunakan apa sahaja sumber termasuk duit ibu bapa. Lepas sebulan praktikal, mereka terpaksa berhenti kerana tiada wang. Ada juga yang tinggal lima hingga lapan orang dalam satu bilik untuk jimat.”
MP Muar, Syed Saddiq
Menurutnya lagi, golongan mahasiswa pada waktu ini perlu bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi seperti rumah sewa dan komitmen lain.
Pihak berkaitan perlu gubal undang-undang untuk lindungi pelajar praktikal
Oleh yang demikian, Syed Saddiq berkata sudah masanya pihak berkaitan menggubal akta bagi melindungi para pelajar praktikal dengan mengenakan tindakan tegas terhadap majikan yang sengaja mengeksploitasi mahasiswa.
“Ia harus dimulakan dengan sektor awam sebelum diperluas kepada syarikat swasta.
“Saya rasa ini adalah satu bentuk pengkhianatan buat orang muda. Kenapa masih ada syarikat tidak bayar elaun sedangkan Kabinet pada 2019 telah mewajibkan ketetapan itu,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, pada tahun sama juga jemaah menteri turut memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM10 juta bagi tujuan tersebut dan akan ditambah lagi dari masa ke masa.
“Lepas ini saya akan mengusulkan supaya ada pindaan ke atas Akta Pekerja supaya kita boleh terus ambil tindakan dan heret mereka yang ingkar ke mahkamah. Kita mula dengan sektor kerajaan dahulu kemudian swasta,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, beliau juga menyeru golongan muda agar bangkit bersama-sama dalam memperjuangkan isu ini.
Sebagai info, tiada garis panduan oleh kerajaan terhadap majikan berhubung isu pemberian elaun kepada pelajar yang mengikuti latihan praktikal di sesebuah syarikat.
Susulan itu, syarikat mempunyai hak untuk menentukan jumlah imbuhan yang ingin diberikan kepada para pelajar praktikal.
Namun, sebelum ini kerajaan ada menyediakan insentif pelepasan cukai buat majikan yang menawarkan program latihan industri.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: