fbpx
Now Reading
Ahli Ekonomi Cadang KPT & KSM Kerjasama Wujud Dana Latihan Industri

Ahli Ekonomi Cadang KPT & KSM Kerjasama Wujud Dana Latihan Industri

Dana ini adalah bertujuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar ‘intern’ yang menjalani latihan industri di syarikat terpilih.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu mengenai bayaran elaun latihan industri dalam kalangan mahasiswa masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.

Isu ini mula timbul apabila seorang pengguna Twitter memuat naik satu gambar yang tertulis ‘intern bukan buruh percuma’.

Hantaran itu nyata mengundang pelbagai komen daripada banyak pihak. Malah, semalam (19 Jun), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berpendapat bahawa mahasiswa yang menjalani latihan industri perlu diberi sedikit imbuhan.

Baca Artikel Berkaitan: “Berilah Sedikit Imbuhan” – Budak Intern Bukan Kuli, Kata PM

KPT & KSM Perlu Bekerjasama Wujud Dana Khas Elaun Industri

Menurut Prof. Barjoyai Bardai yang merupakan ahli ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, beliau berpendapat bagi menangani masalah elaun latihan industri ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu bekerjasama terutamanya dalam mewujudkan dana khas.

Dana ini adalah bertujuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat terpilih.

Kewujudan dana ini juga dapat membantu dalam menyelaraskan elaun latihan industri yang bersesuaian bagi menampung keperluan harian pelajar semasa menjalani latihan tersebut.

“Pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh bekerjasama dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), kerana syarikat yang mencarum dengan HRDF dapat menikmati tawaran latihan yang bersesuaian dengan pekerjaan mereka secara percuma,” katanya.

Tambah beliau, dana ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban pelajar semasa menjalani latihan itu.

Bayar Elaun Mengikut Produktiviti Mereka

Selain itu, beliau menyarankan agar bayaran elaun dibuat berdasarkan kepada produktiviti mereka. Syarikat perlu membayar elaun berdasarkan hasil kerja pelatih sekiranya hasil tersebut memberikan pulangan dan keuntungan kepada syarikat.

Beliau berpendapat, seorang pelatih industri perlu dibayar sekurang-kurangnya RM500 bagi menampung keperluan harian dengan tidak mengambil kira kos-kos seperti penginapan dan pengangkutan.

Wujudkan Insentif Pelepasan Cukai Atau Subsidi Khas Kepada Majikan

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Asre Abdul Aziz berpendapat majikan atau syarikat yang mengambil pelatih industri juga perlu diberi insentif seperti pelepasan cukai atau subsidi upah.

Ia penting memandangkan masih ada lagi syarikat yang berada dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Malah, langkah ini juga dilihat sebagai ‘win-win situation’ bagi kedua-dua pihak apabila masing-masing boleh menikmati faedah daripada pembayaran elaun ini.

“Perlu difikirkan juga kesanggupan pihak industri dalam menerima pelajar ini untuk diberi latihan di syarikat mereka, namun pihak industri juga sewajarnya tidak membebankan kerja-kerja tertentu terhadap pelajar, sehingga memberi kesan kewangan kepada mereka,” katanya.

Untuk info, KPT telah mengeluarkan Dasar Latihan Industri pada tahun 2010 sebagai panduan kepada Institusi Pendidikan Tinggi dalam melaksanakan latihan industri.

Berdasarkan kepada panduan tersebut, pihak industri atau organisasi digalakkan untuk memberi elaun kepada pelajar yang menjalani program latihan industri dengan organisasi mereka.

Foto: Dasar Latihan Industri 2010

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.