fbpx

Graduan UUM Mampu Jana Pendapatan RM15,000 Sebulan Walaupun Baru Graduasi

Menurut Ijmal, dia mula meminati bidang perniagaan selepas belajar mengenai bidang tersebut pada cuti semester ketika peringkat diploma sebelum melanjutkan pengajian di UUM.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gaji merupakan antara isu utama yang sering dibahaskan terutama dalam kalangan graduan. Ini kerana terdapat segelintir graduan meluahkan rasa kecewa apabila ditawarkan dengan gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan.

Malah, ada yang dibayar mengikut paras gaji minimum atas alasan tiada pengalaman kerja. Namun, siapa sangka, ada graduan yang mampu menjana pendapatan bulanan lebih daripada RM10,000 sebulan.

Jana Pendapatan RM15,000 Sebulan

Walaupun baru bergraduasi semalam (19 November), graduan Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Ijmal Mohamed Akbar kini mampu menjana pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

Pemuda yang berusia 25 tahun itu merupakan graduan kumpulan pertama dari program berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019. Program tersebut merupakan lanjutan daripada program asal iaitu Sarjana Muda Keusahawanan.

Ikuti Pengajian Dengan Mod Pembelajaran 2 Tahun Di Kuliah, 2 Tahun Di Industri

Ijmal yang kini bergelar pembangun laman sesawang menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang mengikuti program pengajian Mod 2u2i serta berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.87.

Program itu membolehkannya mengikuti pengajian dua tahun di kampus manakala dua tahun lagi di industri.

Dalami Bidang Keusahawanan Semasa Cuti Semester Peringkat Diploma

Menurut Ijmal, dia mula meminati bidang perniagaan selepas belajar mengenai bidang tersebut pada cuti semester ketika peringkat diploma di institusi pengajian tinggi lain sebelum melanjutkan pengajian di UUM.

“Bermula dari situ, saya berminat untuk mendalami bidang tersebut terutamanya berkaitan e-Dagang dan laman sesawang yang dipelajari daripada YouTube.

“Saya asah kemahiran saya perlahan-lahan dan selepas berkahwin di usia 20 tahun, saya bekerja sebagai pereka web dengan gaji permulaan sebanyak RM1,500 sahaja.

“Dengan kemahiran yang ada ketika itu, saya hanya mampu menyiapkan satu laman sesawang dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Hasilkan Produk Bantu Pengguna Bina Laman Sesawang

Berkat kerja keras bapa kepada dua orang anak itu, dia berjaya menghasilkan produk pertama dikenali sebagai Divi Xpress.

Melalui jenama tersebut, dia mula dikenali dan membantu pengguna membina laman sesawang dengan kadar RM2,000 hingga RM3,000.

Malah, pada tahun 2022, terdapat enam syarikat yang menggunakan perkhidmatannya dalam membangunkan laman sesawang.

“Di situlah saya mula mendapat pendapatan mencecah RM15,000 sebulan, selain berpeluang menjalankan perniagaan sendiri.

“Selain itu, saya juga menawarkan kelas percuma kepada mereka yang baru berjinak dan ingin menceburi bidang perniagaan teknologi maklumat, IT seperti saya.

“Berbekalkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pemasaran e-Dagang, saya telah membantu lebih 400 usahawan membina laman sesawang untuk perniagaan sejak 2017.

“Ada antara mereka yang mencapai keuntungan lima hingga enam angka selepas membina laman sesawang perniagaan,” ujar anak kelahiran Perlis itu.

Zahir Ucapan Terima Kasih, Anggap Pengalaman Sebagai Tidak Ternilai

Ijmal turut menzahirkan ucapan terima kasih terutama buat keluarga dan pensyarah yang memberi sokongan sepanjang tempoh pembelajarannya.

“Pengalaman mengikuti program dalam Mod 2u2i ni mengajar saya untuk belajar tentang realiti dunia perniagaan, pengurusan ahli pasukan, pelanggan, membina garis panduan dan juga pemasaran.

“Apa yang saya capai ini tidak hanya diperoleh daripada pembelajaran kelas semata-mata tetapi memerlukan pengalaman berurusan di dalam dunia perniagaan.

“Hal ini menjadikan saya lebih matang dan lebih faham tentang apa yang saya akan jangka pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Ketika hari pertama Majlis Konvokesyen UUM semalam (19 November), Ijmal turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik (Keusahawanan) yang dikurniakan oleh Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pencapaian Ijmal Penuhi Hasrat KPT

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM Prof Mohd Foad Sakdan turut berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh graduan itu.

Menurut beliau, ia membantu memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan graduan memperoleh gaji premium melebihi RM4,000.

Malah, beliau turut mengharapkan agar pencapaian yang dikecapi oleh Ijmal menjadi contoh dan inspirasi kepada pelajar UUM yang lain.

Untuk info, objektif utama Program Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) adalah untuk melahirkan graduan keusahawanan yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan membantu membangunkan ekonomi negara.

Pelajar yang mengikuti program ini akan mengikuti kuliah selama dua tahun (Inkubasi 1, Inkubasi 2, Inkubasi 3 dan Inkubasi 4)  atau empat semester di universiti manakala lagi dua tahun (Seed 1, Seed 2, Start-up 1 dan Start-up 2) di industri.

Sehingga kini, seramai 101 pelajar daripada empat kohort telah diambil bagi mengikuti program ini termasuk 11 graduan daripada kohort yang pertama.

SEORANG GRADUAN UUM BARU BERGRADUAT, PENDAPATAN BULANAN RM15,000

Posted by Universiti Utara Malaysia (Official FB) on Sunday, 19 November 2023

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.