Kerajaan Disyorkan Tangguh Dahulu Pengumuman Peruntukan – Penganalisis Politik
Ia bertujuan agar langkah itu tidak dilihat sebagai salah satu taktik politik atau strategi memenangi pilihan raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kian terasa apabila setiap parti yang bertanding telah mengumumkan calon sebagai wakil melalui proses penamaan calon pada 29 Julai yang lalu.
Sudah pastinya dalam tempoh berbaki kurang dua minggu ini, parti-parti serta wakil akan mengerah tenaga bagi meraih undian daripada pengundi melalui manifesto dan inisiatif yang dirancang.
Dalam tempoh ini, ada setengah wakil daripada kerajaan pemerintah mengambil inisiatif membuat pengumuman pemberian peruntukan kepada rakyat. Namun, tindakan ini dilihat sebagai kempen dan rasuah oleh sesetengah pihak.
Kerajaan Disaran Tangguh Dahulu Sebarang Pengumuman Peruntukan
Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub, kerajaan disarankan untuk menangguhkan sebarang pengumuman berkaitan peruntukan pada musim kempen PRN.
Ia bertujuan agar langkah itu tidak dilihat sebagai salah satu taktik politik atau strategi memenangi pilihan raya.
Bagi beliau, kerajaan hanya perlu melaksanakan apa yang telah diluluskan, dirancang dan diumum sebelum ini bagi mengelakkan wujud persepsi buruk.
“Situasi politik hari ini adalah politik persepsi, jadi apabila sesuatu perkara gagal beri keyakinan kepada rakyat, maka rakyat akan lihat itu kelemahan, taktik politik atau strategi untuk menang pilihan raya.
“Bila pengumuman (peruntukan) dibuat ketika menjelang PRN, rakyat berpandangan apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) seolah-olah diulang kembali pada hari ini walaupun pemimpin-pemimpin UMNO dan BN hanya mempunyai beberapa peratusan dalam kerajaan sahaja,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Tambah beliau, bagi mengelakkan persepsi buruk, kerajaan seharusnya membuat penjelasan yang terperinci bagi setiap peruntukan bantuan dan program terutama bila ia diluluskan supaya rakyat dan parti politik jelas tentang proses tersebut.
Boleh Bawa Ke Mahkamah Untuk Tentukan Sama Ada Rasuah Atau Tidak
Beliau juga berpendapat pengumuman yang dibuat boleh disahkan sebagai rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya siasatan dibuat dan kes dibawa ke mahkamah.
“Jika ada laporan daripada mana-mana pihak yang melihat berlaku salah guna kuasa, maka laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Kemudian jika ada bukti, kertas pendakwaan dibuka dan diurus di mahkamah. Biar mahkamah tafsirkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman berhubung peruntukan lebih RM500,000 kepada persatuan belia di Terengganu bagi tujuan pembangunan aktiviti belia negeri itu pada 28 Julai yang lalu.
Namun, pengumuman yang dibuat oleh beliau dianggap sebagai satu bentuk rasuah PRN oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pengumuman itu dibuat sehari sebelum proses penamaan calon pada 29 Julai dan tiada kaitan dengan PRN yang akan datang.
Baca Artikel Berkaitan: Pengumuman Peruntukan Ahmad Zahid Tiada Kaitan Dengan PRN – PMX
Baca Artikel Berkaitan: “Dulu Kata BN Tabur Gula²” – Syed Saddiq Persoal Kenapa Kerajaan Umum Bantuan Ketika Pilihan Raya [Video]