Kanak-Kanak Umur 9 Tahun Paling Muda Terlibat Dengan Kes Hamil Luar Nikah, Jadi Mangsa Abang Kandung
Insiden itu terjadi selepas kanak-kanak itu menjadi mangsa seksual abang sendiri yang terpengaruh dengan video pornografi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu hamil luar nikah terutama dalam kalangan remaja bukan lagi sesuatu yang asing di negara ini.
Setiap tahun, pasti akan kedengaran kes hamil luar nikah, kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang kebanyakannya mempunyai hubung kait dengan isu ini.
Antara punca yang menyebabkan kehamilan luar nikah adalah disebabkan oleh hubungan seks sebelum berkahwin, sumbang mahram, rogol dan penderaan seksual.
Namun, kini antara penyebab utama yang mendorong kepada gaya hidup sebegitu adalah disebabkan oleh kemajuan teknologi seperti kemudahan akses internet.
Usia Termuda Kes Hamil Luar Nikah Direkodkan Pada Umur 9 Tahun
Isu ini semakin membimbangkan apabila negara kini mencatatkan kes termuda kelahiran anak luar nikah iaitu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan (9) tahun.
Insiden itu terjadi selepas kanak-kanak itu menjadi mangsa seksual abang sendiri yang terpengaruh dengan video pornografi.
Namun, laporan itu tidak menyebut di negeri manakah perkara itu berlaku.
Sebelum Ini Hanya Libatkan Remaja 17 Tahun Ke Atas
Menurut Pengerusi Yayasan Ikhlas Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin, keadaan ini amat membimbangkan kerana pada tiga tahun lepas, kes kehamilan luar nikah hanya melibatkan remaja berusia 17 dan 18 tahun.
“Jika dulu kes kelahiran anak luar nikah dalam kalangan remaja usia 17 hingga 18 tahun tetapi sekarang berlaku di usia sembilan (9) hingga 13 tahun.
“Di Negeri Sembilan dan Terengganu ada kes kanak-kanak 11 tahun. Ini amat membimbangkan kerana kadar remaja yang terlibat dengan kes kelahiran anak tidak sah taraf meningkat 11%,” kata beliau.
Tambah Zainur lagi, satu daripada 10 remaja di negara ini pernah melakukan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan.
Media Sosial & Kerelaan Sendiri Antara Punca Berlaku Hamil Luar Nikah
Menurut Zainor, kebanyakan pelaku yang menjadi punca kehamilan luar nikah terdiri daripada remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun kerana terdedah dengan media sosial dan hubungan seksual.
Malah, golongan itu dikatakan mudah mendapat video pornografi hasil perkongsian dengan rakan melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp.
“Faktor lain adalah kerana cinta, kerelaan sendiri dan konflik keluarga. Ada satu kes yang saya kendalikan, seorang pelajar tingkatan satu dan cemerlang tetapi terlanjur dengan sepupu berumur 14 tahun.
“Kejadian itu terbongkar selepas remaja berkenaan dibawa ke hospital kerana sakit perut tetapi rupa-rupanya sakit hendak melahirkan anak.
“Keluarga orang susah, ibu menjual kuih dan bapa bekerja dua syif. Mereka tiada masa untuk anak menjadi antara punca keterlanjuran itu berlaku,” ujar beliau.
Menurut Zainor, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawasi dan perlu sering berkomunikasi serta meluangkan masa bersama anak seperti melakukan aktiviti sukan atau melancong bagi mengatasi perkara ini.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Perempuan Disyaki Sembunyi Status Kehamilan, Reka Cerita Jumpa Bayi Pada Ibu
Baca Artikel Berkaitan: Hamil Anak Luar Nikah, Wanita Di Indonesia Bunuh Bayi Baru Lahir Guna Seluar Dalam