Beri Ulasan Negatif, Resort Terkemuka Di Johor Bakal Ambil Tindakan Pada Norreen Iman & Bella
Menurut pihak resort terbabit, Norreen dan Bella tidak pernah membuat sebarang aduan sepanjang menginap di sana, sebaliknya memilih untuk mendedahkan ketidakpuasan hati di media sosial.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular apabila dua orang selebriti media sosial, Norreen Iman dan Bella Khan memberi ulasan negatif terhadap resort di sebuah pulau yang terletak di Johor.
Tangkap layar ulasan mereka mengenai resort berkenaan telah sohor di media sosial selepas dikongsikan pengguna media sosial yang lain sekaligus mendapat perhatian ramai.
Norreen Iman dan Bella Khan akan dikenakan tindakan oleh pihak resort
Terbaharu, kedua-dua influncer terbabit kini berdepan dengan tindakan undang-undang daripada pihak resort berkenaan susulan daripada ulasan negatif mereka.
Menerusi kenyataan pengurusan resort terbabit, kedua-dua individu tersebut tidak pernah membuat sebarang aduan sepanjang menginap di sana, sebaliknya mereka memilih untuk mendedahkan ketidakpuasan hati di media sosial.
Pihak resort beri nasihat untuk buat aduan rasmi
Menurutnya lagi, pihak pengurusan resort juga telah menasihati Norreen dan Bella untuk membuat aduan rasmi dengan butiran lengkap ke saluran yang betul supaya pihaknya dapat meneliti isu tersebut.
“Sebelum menyiarkan hantaran dalam media sosial, Norreen Iman dan Bella Khan atau mana-mana wakil mereka tidak pernah secara langsung membuat aduan kepada kami, terutama semasa berada di resort kami.
“Pengurus kami telah menasihati mereka untuk menyerahkan aduan mereka (jika ada) dengan butiran yang berkaitan melalui e-mel supaya kita boleh menyiasat sebelum mengambil tindakan (yang) perlu.
“Sebaliknya, Norreen Iman dan Bella Khan menyalahgunakan pengaruh mereka dalam media sosial dengan menyerang perniagaan kami menerusi penerbitan siaran media sosial dan kenyataan yang tidak disahkan,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Pihak pengurusan resort buat laporan polis
Oleh kerana itu, pihak pengurusan resort telah mengambil langkah dengan membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Norreen dan Bella atas kenyataan mereka yang berbaur fitnah.
“Tingkah laku mereka yang tidak bertanggungjawab telah mendedahkan kami kepada kebencian, cemuhan, dan penghinaan orang ramai, sehingga memusnahkan nama baik dan reputasi kita.
“Lebih teruk, kami juga menerima ugutan bunuh, perkara ini sangat serius.
“Selepas mempertimbangkan implikasi negatif serta keselamatan kakitangan kami, kami memutuskan untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka berdua dan pihak ketiga yang memfitnah atau mengugut kami,” jelasnya lagi.
Terdahulu, menerusi perkongsian kedua-dua individu itu di media sosial, mereka telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menginap di resort berkenaan namun menerima layanan tidak memuaskan dari segi servis dan perkhidmatan yang disediakan.
Malah tinjauan di ruangan komen juga mendapati segelintir pengguna media sosial turut meluahkan pengalaman mereka semasa menginap di resort terbabit.