
Lelaki Tumbuk Penjawat Awam Hingga Mati Selepas Dakwa Isterinya Dikacau Dicekup Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, kejadian pergaduhan di antara suspek dan mangsa berlaku di sebuah kedai makan Jalan Lama Pasir Putih-Machang di hadapan Hospital Machang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang penjawat awam maut ditumbuk oleh seorang lelaki selepas dia didakwa menganggu seorang wanita yang juga rakan sekerjanya.
Mangsa dikatakan bergaduh dengan suami wanita itu menyebabkan dia meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi di Jalan Pasir Putih – Machang semalam (3 September).
Suspek dicekup semasa buat laporan di IPD Machang
Susulan kejadian itu, suspek yang berusia 46 tahun itu telah dicekup semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Machang pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Machang, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek hadir ke IPD Machang untuk membuat laporan polis sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
Kejadian berlaku di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Hala
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan di simpang empat, Kampung Sungai Hala berhampiran Hospital Machang.
“Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa yang berusia 51 tahun dan isteri suspek merupakan penjawat awam di sebuah jabatan sama di Kuala Krai.
“Akibat pergaduhan tersebut, penjawat awam itu mengalami kecederaan dan pendarahan serius pada bahagian muka. Selain itu, mangsa juga parah pada kedua-dua belah mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri manakala suspek hanya cedera di kedua-dua belah tangannya,” katanya dipetik Kosmo.
Pergaduhan berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata
Menurutnya lagi, siasatan turut mendapati pergaduhan tersebut berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata.
Kata Muhamad Zaki, selepas kejadian itu ambulans datang dan membawa mangsa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik di hospital yang sama untuk bedah siasat, kata Muhamad Zaki.
“Suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Ujian awal saringan air kencing mendapati, suspek negatif daripada sebarang pengambilan dadah,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Machang hari ini (4 September) untuk perintah tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan saksi kejadian yang dikenali sebagai Hasran Hassan memaklumkan kedua individu itu bertengkar selama 45 minit sebelum bergelut di tepi jalan bersebelahan kedainya yang turut diperhatikan oleh beberapa lelaki lain tanpa membantu untuk meleraikan pergaduhan tersebut.
JUST IN
— Hariz Mohd (@HarizMohdWrites) September 3, 2023
Seorang pekerja swasta berusia 46 thn ditangkap polis selepas bergaduh dan menyebabkan kematian seorang penjawat awam berusia 51 tahun yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Kejadian berlaku jam 11 pagi td di Machang, Kelantan. pic.twitter.com/g5lnltKmb9