fbpx
Now Reading
Dua Individu Maut Dalam Nahas Di Putrajaya Sudah Dikenal Pasti, Pekerja Pos Malaysia & Mahkamah Ampang

Dua Individu Maut Dalam Nahas Di Putrajaya Sudah Dikenal Pasti, Pekerja Pos Malaysia & Mahkamah Ampang

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan kejadian kemalangan yang membabitkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan awam termasuk motosikal anggota polis trafik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (20 September), negara digemparkan dengan satu kemalangan yang membabitkan sebuah traler yang merempuh beberapa kenderaan dan motosikal pengiring polis trafik.

Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di KM 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya.

Susulan daripada kejadian itu, Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan terdapat dua mangsa dilaporkan meninggal dunia.

Media sebelum ini melaporkan konvoi tersebut bukanlah membawa VIP sebaliknya ia adalah raptai membabitkan anggota polis yang merupakan pengiring dalam Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi raptai Le Tour De Langkawi (LTDL).

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke kepada media.

Baca artikel berkaitan: Dua Maut Dalam Nahas Babitkan 6 Kenderaan Di Putrajaya, Lori Gagal Brek Disyaki Jadi Punca [Video]

Dua individu maut dalam kemalangan di Putrajaya adalah pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang

Terbaharu, polis memaklumkan dua individu yang maut dalam kemalangan berkenaan sudah dikenal pasti iaitu pekerja Pos Malaysia serta Mahkamah Ampang.

Jelas Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz mangsa adalah Faris Haziq Abu Bakar, 25, seorang pekerja Pos Malaysia dan seorang lagi adalah Yuswar Mohd Uyus, 39 yang merupakan kakitangan Mahkamah Ampang.

Pengecaman mayat dah dibuat oleh ahli keluarga

Menurut beliau, pengecaman kedua-dua mayat telah dilakukan oleh ahli keluarga mereka iaitu Faris Haziq dibuat oleh bapa manakala Yuswar dibuat oleh isteri di Unit Forensik Hospital Putrajaya.

Pengecaman itu dilakukan sekitar jam 5.30 petang, semalam (20 September).

“Post mortem kedua-dua mangsa akan dibuat hari ini (21 September),” ujarnya, lapor Astro Awani.

Jumlah keseluruhan terbabit dalam kemalangan adalah 14

Katanya jumlah keseluruhan mangsa yang terbabit dalam kemalangan tersebut adalah 14 termasuk dua yang meninggal dunia.

Dua pemandu kenderaan iaitu Karli Rastio, 69, dan Abdul Latif Ahmad, 58 cedera parah dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Manakala pemandu treler dilaporkan cedera ringan seperti luka di tangan dan selebihnya yang terlibat dalam kemalangan ada yang patah tangan serta tidak alami kecederaan.

Tak sangka kemalangan melibatkan ahli keluarga sendiri

Dalam pada itu, seorang individu dikenali sebagai Mohd Azuan Mohd Zain, 37, yang merupakan biras kepada Yuswar tidak sangka apabila kemalangan itu membabitkan ahli keluarganya.

Malah dia hanya mengetahui hal itu selepas dimaklumkan oleh isterinya.

“Arwah ini sentiasa ringan tulang, suka membantu menyelesaikan apa jua masalah yang berlaku dalam keluarga,” ujarnya.

Kata Azuan, Yuswar dipercayai dalam perjalanan ke Istana Kehakiman Putrajaya bagi urusan rasmi ketika kemalangan berlaku.

Muat naik hantaran ‘ke mana hala tuju selepas ini’ 4 hari sebelum meninggal

Perkara sama turut dirasakan oleh rakan kepada Faris Haziq iaitu Syafiq Abu Suffian, 25.

Menurut Syafiq, empat hari sebelum kemalangan Allahyarham ada memuat naik satu hantaran menyatakan ‘ke mana hala tuju selepas ini’ di Instagram miliknya.

Tambahnya, Faris sebelum meninggal dunia dilihat lebih banyak berdiam diri berbanding sebelumnya.

“Arwah yang saya kenali merupakan insan ceria dan suka bergurau dengan rakan-rakannya, namun sejak beberapa hari lalu, arwah lebih gemar berdiam diri.

“Tapi perubahan sikapnya itu tidaklah ketara, kami pun tak sangka itu antara petanda yang di akan meninggalkan kami buat selamanya,” ujar Syafiq ketika ditemubual Sinar Harian.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.