JPJ Buat Laporan Polis Selepas Wanita Dakwa Orang Ramai Boleh Disaman Jika Tak Pamer Cukai Jalan Fizikal
Menurut JPJ laporan itu dibuat memandangkan hantaran yang dimuat naik wanita itu adalah tidak benar dan mengelirukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (21 Sept) kecoh di media sosial perkongsian seorang pengguna Facebook yang mendakwa mendapat maklumat bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyaman mana-mana individu yang tidak mempamerkan cukai jalan secara fizikal.
Missa James Novelis menerusi satu hantaran di Facebook mendakwa dia mendapat perkhabaran itu selepas pulang dari pejabat JPJ.
“Siapa kata sekarang tak perlu cukai jalan fizikal. Semua itu bohong semata. Saya baru balik dari JPJ tanya hal sebenar.
“Cukai jalan fizikal masih diperlukan ya. Sesiapa yang dah bayar insurans dan cukai jalan di pejabat pos sila ke kiosk di JPJ untuk cetak, ia percuma,” dakwa wanita tersebut.
Turut dakwa cukai jalan digital ‘tak laku’
Tambah wanita itu lagi, saman juga akan dikenakan terhadap pengguna jalan yang hanya mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) digital menerusi aplikasi MyJPJ yang kini digunakan secara meluas oleh pengguna jalan raya di Malaysia.
Perkongsian itu yang tular dan sohor di TikTok kemudiannya mencetuskan kemarahan orang ramai kerana ianya disifatkan tidak selari dengan maklumat yang diumumkan kerajaan dan boleh disifatkan sebagai mengelirukan.
JPJ buat laporan polis kerana ianya mengelirukan
Terbaharu, JPJ memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.
JPJ dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook berkata, laporan itu dibuat memandangkan hantaran yang dimuat naik wanita itu adalah mengelirukan.
“JPJ ingin menjelaskan bahawa kenyataan dalam hantaran tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
“Laporan polis telah dibuat supaya siasatan dapat dibuat terhadap pemilik akaun tersebut bagi mengelakkan perkongsian kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan.”
Tambah kenyataan itu lagi, JPJ sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sepertimana yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 10 Februari 2023.
“Pemilik kenderaan dan pemandu yang telah bersedia digalakkan untuk beralih dari dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh interim ini, pemilik kenderaan dan pemandu masih diberi pilihan sama ada untuk menggunakan LKM atau LMM dalam bentuk digital atau terus kekal menggunakan dokumen berbentuk fizikal.
“Sehubungan itu, orang ramai yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu bimbang sekiranya ditahan oleh pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan. Pihak penguat kuasa yang terlibat termasuklah PDRM telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” kata JPJ.
Tak pasti jangan kongsi
JPJ dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak.
“Orang ramai juga digalakkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat yang diperolehi untuk memastikan maklumat tersebut benar serta sahih melalui portal atau media sosial rasmi JPJ.”