
Bukan Kerana Tak Bayar Cendol, Rupanya Langgar Lari Punca Nissan Almera Dikejar
Menerusi video yang tular, awalnya pemandu itu didakwa lari kerana tidak membayar cendol namun siasatan awal polis mendapati kenderaan berkenaan lari selepas melanggar sebuah motosikal di lampu isyarat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 27 September, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa penunggang motosikal yang sedang mengejar sebuah kenderaan jenis Nissan Almera.
Kenderaan berkenaan dikejar dari sepanjang Jalan Gombak, Batu Caves dari arah Taman Sri Gombak menghala ke Sentul Point.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan beberapa penunggang motosikal itu cuba mengejar kereta yang bergerak dengan laju sambil membunyikan hon.
Turut kedengaran segelintir dari penunggang motosikal itu menjerit meminta pengguna jalan raya lain untuk menahan kenderaan terbabit.
Pemandu itu awalnya didakwa tidak membuat pembayaran selepas makan cendol sebelum kenderaannya berjaya ditahan oleh orang awam di tepi jalan.
Bukan tak bayar cendol tetapi lari lepas langgar motosikal di lampu isyarat
Walau bagaimanapun, siasatan awal polis kenderaan yang dikejar itu bukan kerana tidak membayar duit cendol sebaliknya lari disebabkan telah melanggar sebuah motosikal di lampu isyarat.
Namun, pemandu kenderaan itu belum tampil membuat sebarang laporan polis.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, polis telah mendapat laporan mengenai kes pada jam 2.05 petang, 28 September.
Selain motosikal, pemandu turut langgar Proton Saga
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta Nissan Almera.
“Suspek melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal Yamaha LC135 seterusnya melanggar bahagian kiri sebuah Proton Saga,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
AKSI KEJAR MENGEJAR DI BATU CAVES
— Asal Gombak (@AsalGombak) September 27, 2023
Satu kekecohan berlaku tengah hari tadi di Batu Caves apabila sekumpulan remaja yang menaiki sebuah kereta dikatakan lari dari membayar cendol kemudian mereka dikejar oleh sekumpulan penunggang motorsikal.
🎥 Telegram Asal Gombak pic.twitter.com/tDNyYA7yWv
Terdahulu, penularan video melibatkan kenderaan Almera itu telah menimbulkan tanda tanya orang ramai adakah benar ia berpunca daripada tidak membayar duit cendol atau sebaliknya.
Ramai menyifatkan pemandu tersebut telah membuat kesilapan besar di mana dia kini perlu menanggung kos yang besar untuk membaiki kenderaan terlibat dalam kemalangan berbanding membayar pencuci mulut berkenaan.