fbpx
Now Reading
90% Kemalangan Jalan Raya Berpunca Dari Sikap Pemandu – JPJ

90% Kemalangan Jalan Raya Berpunca Dari Sikap Pemandu – JPJ

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan mendedahkan sebanyak 321,263 kenderaan, termasuk 64,880 kenderaan komersial telah diperiksa dan diaudit di bawah tiga akta menerusi Op Patuh Khas 2023.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketika memandu atau berada di atas jalan raya, perkara yang paling utama dan perlu dipatuhi oleh kebanyakan pengguna adalah undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kebanyakan pengguna yang berhemah sudah tentunya akan mematuhi peraturan tersebut bagi mengelakkan dari berlakunya insiden yang tidak diingini.

Namun dalam kita berhati-hati di jalan raya, ada segelintir individu yang sering mengamalkan sikap tidak bertangungjawab dan mementingkan diri sendiri hingga menyebabkan kemalangan.

Sikap Pemandu Punca 90% Kemalangan Jalan Raya

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan, sebanyak 90% kemalangan yang berlaku di Malaysia adalah berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri.

Menurut beliau, sikap acuh tidak acuh pemandu menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

“Sedangkan sebelum dapat lesen, mereka sudah jalani kursus khas untuk mematuhi peraturan jalan raya. Disebabkan itu, tindakan undang-undang terpaksa diambil dari semasa ke semasa,” kata beliau yang dipetik dari Berita Harian.

73,296 Notis Dikeluarkan Dalam Op Patuh Khas 2023

Pada masa yang sama beliau mendedahkan sebanyak 321,263 kenderaan, termasuk 64,880 kenderaan komersial telah diperiksa dan diaudit di bawah tiga akta menerusi Op Patuh Khas 2023.

Akta tersebut terdiri daripada Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

Bermula 1 hingga 30 Oktober, sebanyak 73,296 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan kepada syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial.

Daripada jumlah tersebut, 4,515 merupakan kesalahan lebihan muatan, 19,905 bagi kesalahan teknikal, kesalahan tiada lesen memandu (11,813), kesalahan tiada lesen vokasional (6,085), cukai jalan tamat tempoh (9,947), tiada insurans (6,626) dan tujuh kesalahan utama lalu lintas (5,762).

Tujuh kesalahan utama lalu lintas yang dikesan terdiri daripada kesalahan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, guna telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

“JPJ juga turut menyita 705 kenderaan, termasuk 16 bagi kesalahan lebih muatan yang ekstrem. JPJ mendapati trend kesedaran dan pematuhan kepada peraturan, terutama oleh pemandu kenderaan komersial, masih rendah,” katanya.

Gesa Pemilik & Pemandu Kenderaan Komersial Patuhi Peraturan

Lokman turut menggesa agar pemilik dan pemandu kenderaan komersial sentiasa mematuhi peraturan dan meningkatkan keselmatan operasi kenderaan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan serta bagi memastikan jalan raya selamat digunakan oleh pengguna yang lain.

“JPJ akan terus mempergiatkan usaha untuk melandai statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. Ini termasuk kerjasama strategik melalui Op Patuh Bersepadu JPJ bersama JSPT dan agensi penguatkuasaan lain. Operasi akan diteruskan mulai November ini,” ujarnya lagi.

Malah, beliau turut menyarankan agar orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan keluarga.

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Bawah Umur & Tanpa Lesen Boleh Bahayakan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Lain

Baca Artikel Berkaitan: “Nasib Baik Tak Kemalangan”- Pemandu Berang Jadi Mangsa Buli Jalan Raya Lepas Beri ‘High Beam’ [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.