Kemerosotan Pelancong Jejas Status Pulau Langkawi Sebagai Pusat Percutian Popular
Dikhabarkan ramai pengusaha makanan menutup operasi perniagaan dan pemilik kereta sewa melelong kenderaan masing-masing berikutan penurunan bilangan pelawat ke pulau peranginan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kepelbagaian adat dan budaya menjadikan Malaysia antara negara yang unik di dunia. Malah, negara ini turut menjadi destinasi pelancongan baik pelawat tempatan mahupun luar negara.
Antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pelancong adalah pulau-pulau antaranya seperti Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi.
Sebut sahaja tentang Pulau Langkawi pasti terbayang kecantikan pantai dan sejarah pulau berkenaan yang sering menjadi destinasi pilihan pelancong.
Bakal Jadi Pekan Hantu, Ramai Pengusaha Tutup Operasi Perniagaan
Namun sejak akhir-akhir ini, dikhabarkan ramai pengusaha makanan menutup operasi perniagaan dan pemilik kereta sewa melelong kenderaan masing-masing berikutan penurunan bilangan pelawat ke pulau peranginan tersebut.
Menurut Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), pulau itu bakal bergelar ‘pekan hantu’ sekiranya tiada tindakan daripada pihak kerajaan.
Baca Artikel Berkaitan: Pulau Langkawi Sunyi Tanpa Pelancong, Netizen Luah Rasa Rindu Dengan Suasana Meriah
Tempahan Hotel Tiga Bintang Merosot Sempena Deepavali
Menguatkan lagi kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTA Zainudin Kadir berkata, bukti terbaharu menunjukkan tempahan hotel tiga bintang dan ke bawah bagi perayaan cuti Deepavali hanya mencapai 10% sehingga Jumaat (3 November) lalu.
“Semakin ramai pengusaha terlibat dalam sektor ini terjejas. Sebagai contoh, sepanjang Oktober, sebanyak 31 daripada 163 pengusaha kedai makan atau restoran yang berdaftar dengan LTA gulung tikar. Masing-masing sudah menjual perkakasan kedai mereka. Ia akan meningkat lagi jika tiada langkah proaktif daripada pihak terlibat.
“Minggu ini, cuti Deepavali sehingga hari ini tempahan hotel hanya 10% untuk hotel tiga bintang ke atas. Berbanding dengan tahun lepas, tahun ini paling teruk dan kerugian dijangka 58%,” kata beliau yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Hanya Bergantung Kepada Pelancong Domestik
Tambah Zainudin, masyarakat tempatan yang hanya bergantung kepada pelancong domestik menyebabkan berlaku kemerosotan industri hingga pulau itu tidak lagi menjadi pusat percutian popular.
“Langkawi akan jadi ‘pekan hantu’ sekali lagi seperti pandemik Covid-19. Isu utama, tidak ada promosi khusus untuk memeriahkan semula Langkawi. Jadi Langkawi kini sudah hilang tarikan walaupun kepada pelancong domestik,” kata beliau lagi.
Malah, majoriti pengusaha makanan hanya bergantung kepada pelancong dan bukan penduduk tempatan yang jarang makan di luar rumah. Penurunan bilangan pelancong menyebabkan mereka bakal gulung tikar.
Pengusaha kereta sewa juga tidak terkecuali turut terjejas akibat daripada situasi ini hingga ada yang terpaksa melelong kenderaan susulan tiada permintaan.
“Mereka tidak larat nak tanggung hutang bank lagi. Pengusaha makanan dan kereta sewa ini yang paling terkesan ketika ini. Mereka terpaksa serah diri kepada pihak bank,” ujarnya.
Mohon Bantuan Pihak Kerajaan
Bagi merancakkan kembali pelancongan di Pulau Langkawi, beliau berharap agar semua pihak terutamanya kerajaan negeri dan persekutuan dapat membantu dan membincang langkah yang terbaik.
“Isu feri semakin selesai apabila pengusahanya bersedia untuk menambah perjalanan feri namun tanpa promosi pelancong jadi tidak berminat untuk ke Langkawi lagi. Kita harap dua-dua pihak dapat duduk berbincang,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Dianugerahkan ‘Asia Best Awards 2022’, Langkawi Tersenarai Sebagai Pulau Terbaik Di Asia Tenggara
Baca Artikel Berkaitan: ‘Bebas Cukai Tapi Barang Mahal?’ – Pulau Langkawi Makin Sunyi, Pelancong Makin Berkurangan