Semenyih Jadi Lokasi Pertama Ada Garisan Jalan ‘Glow In The Dark’ Di Malaysia
Menurut Menteri Kerja Raya, penggunaan cat garisan jalan bercahaya dalam gelap ini merupakan projek rintis Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, di Malaysia masih terdapat banyak kawasan jalan terutamanya di perkampungan dan kawasan pedalaman yang gelap serta berbahaya untuk digunakan khususnya pada waktu malam.
Susulan itu, kerajaan menerusi pelaksanaan kempen MYJalan telah melakukan inovasi dengan mengecat garisan jalan ‘glow in the dark’ dimulai di sekitar Semenyih, Selangor.
Jalan ‘glow in the dark’ projek rintis JKR Hulu Langat
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan cat garisan jalan bercahaya dalam gelap ini merupakan projek rintis Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat.
Menurutnya, projek ini dilakukan di Persimpangan Jalan Sungai Lalang (B19) dan Jalan Sungai Tekali (B16), sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter.
“Inisiatif seperti ini didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan, dengan ketahanan selama 10 jam di waktu gelap dan masih dapat memberi kesan ‘glow’ yang baik dalam cuaca hujan,” katanya.
Menurutnya lagi, bagaimanapun kerajaan masih mengkaji keberkesanannya secara keseluruhan termasuk kos pelaksanaannya yang pada ketika ini agak tinggi.
Alexander turun padang, tinjau sendiri keberkesanan jalan ‘glow in the dark’
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Alexander turut berkesempatan untuk turun ke lokasi jalan ‘glow in the dark’ ini bagi meninjau sendiri keberkesanannya.
“Malam ini kami daripada Kementerian Kerja Raya dan juga JKR, bersama Ahli Parlimen Hulu Langat datang untuk melawat tempat yang dikatakan pilot projek, di mana garisan jalan ini, menggunakan teknologi baru, iaitu menggunakan cat yang lebih menyala apabila malam, lain daripada yang biasa digunakan itu.
“Jadi nampaknya memang ada kelainan daripada yang biasa itu, ia lebih nampak dalam gelap. Jalan yang tiada lampu, yang gelap ini boleh membantu pemandu dan pengguna jalan supaya mereka ini, lebih selamat dan selesa menggunakan jalan pada waktu malam”, katanya dipetik RTM.
Terdahulu pada 28 Oktober lalu, JKR Daerah Hulu Langat ada memberikan makluman di Facebook mengumumkan mengenai cubaan projek rintis cat jalan ‘glow in the dark’ ini.
Inisiatif itu mendapat pujian ramai di mana netizen mahukan ia dilakukan di seluruh negara.