fbpx
Now Reading
Tidak Perlu Puji Perdana Menteri Untuk Dapatkan Peruntukan – Anwar Ibrahim

Tidak Perlu Puji Perdana Menteri Untuk Dapatkan Peruntukan – Anwar Ibrahim

Namun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan permohonan peruntukan yang dibuat perlulah memenuhi syarat dan peraturan berdasarkan perbincangan serta rundingan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada awal bulan yang lalu, kami ada melaporkan pengumuman dari Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyuarakan sokongan tersebut bagi memastikan penduduk Gua Musang, Kelantan mendapat manfaat daripada Kerajaan Persekutuan.

Selain Gua Musang, terdapat beberapa ahli parlimen BERSATU yang lain dari Jeli, Kuala Kangsar dan Labuan turut mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri.

Tidak Perlu Sokong Atau ‘Jilat’ Perdana Menteri Jika Mahu Dapatkan Peruntukan

Terbaharu, Anwar Ibrahim memaklumkan kepada pihak pembangkang agar tidak memujinya hanya kerana mahu mendapatkan peruntukan.

Menurut Anwar, beliau tidak pernah meletakkan syarat seperti memberi sokongan jika mahu peruntukan.

Malah, beliau menjelaskan permohonan peruntukan boleh dibuat dan dirunding dengan baik tanpa menyinggung mana-mana pihak.

“Saya tak kata syaratnya mesti sokong atau jilat Perdana Menteri seperti mahu jilat macam perangai walaun yang jilat tanpa sanggup berdebat dalam hal ini dan hanya menghina, jadi pembangkang bertanggungjawab, bagaimana pergi mana-mana kata kami ini (kerajaan) bukan Melayu, bukan Islam.

“Doa melaknatkan orang, kemudian suruh berunding dengan baik, beradab dan berakhlak, jadi, saya nak tegaskan walau apapun diucapkan, kita tak menghalang daripada perundingan untuk kembalikan peruntukan kepada semua wakil rakyat,” kata beliau ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini (28 November).

Permohonan Perlu Mematuhi Peraturan & Syarat Yang Ditetapkan

Namun menurut Anwar, permohonan peruntukan yang dibuat perlulah memenuhi syarat dan peraturan berdasarkan perbincangan serta rundingan.

“Setakat bincang dengan Timbalan Perdana Menteri kedua (Datuk Seri Fadillah Yusof), tidak ada (syarat) wajib menyokong Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan, tidak ada. Ini bincang pun tidak, sombong bukan main.

“Saya sebagai ketua pembangkang dulu, Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memang tak mahu jumpa, dia ada di kelas lain, tapi Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dia jumpa, kita bincang, jadi saya tak ada masalah, tak rasa terhakis pengaruh atau kedudukan,” jelas beliau.

Malah, beliau menjelaskan tetap bersikap terbuka jika pihak pembangkang mahu berbincang mengenai peruntukan.

“Saya tidak ada sikap untuk nak benci, tidak ada, tapi sikap itu harus juga reciprocal (berbudi bahasa), saya bukan kata mesti sokong Perdana Menteri dan jilat, tak pernah saya macam itu.

“Tapi, kalau beri ruang dan ikhlas, saya pun begitu. Jadi, sudahlah, ini tiap kali kata nak cukup jumlah, nak ambil alih. Tak apa, perlembagaan membolehkan tapi tak usah hina sampai soal akidah kita sampai tak ada harga langsung dalam kempen-kempen, tak boleh,” kata beliau.

Tetap Iktiraf Kedudukan Pembangkang Walaupun Berbeza Pendapat

Tambah Anwar, beliau tetap mengiktiraf kedudukan pihak pembangkang walaupun berbeza pendapat dari segi politik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan tetap menjemput Menteri Besar Perlis dan Kedah ketika mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semalam (27 November).

“Perdana Menteri Thailand juga tidak mengundang mereka makan tengah hari, saya beri nota kepadanya, minta mereka disamakan dalam jawatankuasa itu, kerana saya tahu had saya, saya boleh berbeza pendapat dari segi politik, tapi saya iktiraf kedudukan mereka dipilih sebagai menteri besar Kedah dan Perlis.

“Jadi, ada hadnya, jangan hina lebih daripada itu, saya juga tahu had saya. Dalam rundingan dengan Perdana Menteri Thailand, jarang kita bawa pembangkang. Semasa Kota Bharu jadi menteri dalam kerajaan-kerajaan luar, tidak pernah wakil pembangkang dibawa. Saya bawa wakil, jadi jangan cakap houlier than thou (lebih baik dari orang lain), jadi saya harap semangat itu ditunjukkan,” ujar beliau lagi.

Malah, beliau turut memberi jaminan akan mengutamakan peruntukan projek-projek seperti tebatan banjir di Kelantan.

“Kita bagi keutamaan lebih daripada tempat lain kerana kesan banjir di Kelantan, tapi kalau cerita seolah-olah tidak mendapat faedah, ditindas, ini tidak benar.

“Soal peruntukan ada jalan keluar, kalau tanya nasihat saya, rundinglah dulu dengan Timbalan Perdana Menteri, carilah penyelesaian yang baik,” jelas beliau lagi.

Baca Artikel Berkaitan: MP Gua Musang Dari PN Umum Sokong PM Anwar, Dakwa Demi Bela Kebajikan Penduduk

Baca Artikel Berkaitan: MP Bukit Gantang Sedia Sokong PM Jika Dapat Peruntukan RM30 Juta

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.