fbpx

Zayn Rayyan Cuba Pertahankan Diri, Disyaki Mati 48 Jam Sebelum Ditemui

Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Mohd Shuhaily, hasil bedah siasat turut mendedahkan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan di leher dipercayai akibat dicekik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketika ini, seluruh rakyat Malaysia masih lagi terkesan dan berduka dengan berita kematian kanak-kanak autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang sebelum ini dilaporkan hilang pada Selasa lalu (5 Disember).

Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berdekatan kawasan kediamannya, Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam kelmarin (6 Disember).

Namun, apa yang mengejutkan apabila hasil siasatan dan bedah siasat mendapati Zayn Rayyyan sebenarnya telah mati dibunuh.

Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan Zayn Rayyan Dibunuh

Hasil bedah siasat temui kesan luka pertahankan diri pada tubuh Zayn Rayyan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil bedah siasat turut menemui kesan luka mempertahankan diri pada tubuh mangsa.

Menurutnya, hasil bedah siasat turut mendedahkan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan di leher dipercayai akibat dicekik.

“Dalam konteks ini (punca kematian) saya rasa elok saya sebut bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri).

“Demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarga saya rasa memadai saya cakap itu sahaja,” katanya dipetik Harian Metro.

Zayn Rayyan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam di lokasi berbeza

Shuhaily sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di satu lokasi berbeza sebelum ditinggalkan di tempat ditemui kelmarin.

“Mangsa mungkin tidak mati di tempat mayatnya ditemui, dipercayai sudah meninggal dalam tempoh 48 jam.”

Pengarah JSJ Bukit Aman, Mohd Shuhaily

Katanya, anak sungai lokasi mayat mangsa ditemui adalah kawasan terpencil yang jarang dilalui orang ramai, maka pihak polis percaya suspek tahu selok belok di kawasan terbabit.

“Kita boleh rumuskan dari usaha pencarian oleh IPD Petaling Jaya selama dua hari di tempat sama tetapi (mangsa) tidak ditemui.

“Namun, ditemui pada hari kedua, lewat malam semalam.

“Mengambil dari situ kita boleh rumuskan mangsa mungkin mati di tempat lain dan diletakkan di situ,” katanya.

Suspek bunuh Zayn Rayyan sedang dikenal pasti

Mengulas mengenai identiti suspek pula, beliau berkata pihak polis sedang mengenal pasti individu terbabit.

Jelas Shuhaily, kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut baru sahaja ditukar kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Penduduk sifatkan kes sebagai tragedi hitam, mahu pelaku segera ditangkap

Sementara itu, penduduk di Apartment Idaman menyifatkan kes terbabit sebagai tragedi hitam yang tidak disangka berlaku sejak taman perumahan jenis strata itu mula didiami lebih 20 tahun yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1, Zamri Saidin berkata, mereka tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku kerana penduduk di kawasan itu amat mengenali antara satu sama lain.

“Rata-rata penduduk di sini mempunyai keakraban dengan jiran tetangga, jadi bila kisah kehilangan Zyan mula tersebar ramai yang ingin membantu untuk mencarinya.

“Saya sendiri terlibat dalam operasi pencarian dan terkejut bila polis sahkan Zyan meninggal dunia akibat dibunuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Bilal Masjid Al-Muhtadin, Mohd Hanafiah Abdul Majid berkata, dia tidak menyangka usahanya untuk mengumpul kariah masjid membantu operasi mencari Zayn berakhir dengan penemuan mayat kanak-kanak itu.

“Saya ingat arwah mati lemas, tapi bila disahkan ia merupakan kes bunuh saya jadi tergamam kerana tak sangka ada manusia yang tergamak melakukan perkara keji seperti itu.

“Saya harap orang yang bertanggungjawab dapat diberkas segera kerana jika suspek masih bebas akan menyebabkan penduduk takut kejadian yang sama berulang selepas ini,” kata Mohd Hanafiah.

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Autisme Hilang Sejak Semalam, Iengkap Berseragam Sekolah

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.