fbpx

MBSA Diarah Bayar Ganti Rugi RM50,000 Kepada Pusat Refleksologi

Menurut pusat refleksologi itu, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan MBSA menyalahi undang-undang kerana tidak diberikan kuasa oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membayar ganti rugi am RM50,000 atas tindakan penguatkuasaan tanpa kebenaran terhadap sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan refleksologi dan aromaterapi pada 12 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Jamhirah Ali memutuskan nilai ganti rugi itu selepas MBSA kalah dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 2017.

Namun, Jamhirah menolak tuntutan syarikat Only One Foot Reflexology Sdn Bhd untuk mendapatkan ganti rugi khas.

Syarikat refleksologi itu berhak dapat faedah pada kadar 5% setahun

Menurut Jamhirah, Only One Foot Reflexology Sdn Bhd berhak mendapat faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah penghakiman yang dikira dari kelmarin (12 Disember) sehingga tarikh ia dibayar sepenuhnya selain memutuskan syarikat terbabit perlu dibayar kos RM10,000.

Dalam kenyataan tuntutan yang difailkan pada 21 Disember 2011, syarikat itu menyatakan telah mendapat lesen daripada MBSA pada 11 Mac 2009 untuk menawarkan perkhidmatan refleksologi dan aromaterapi di premisnya di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning.

Surat kelulusan majlis bertarikh 12 Mac 2009 melampirkan senarai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikatnya seperti peruntukan berkaitan khusus dengan bilik urut dan larangan terhadap alkohol, merokok, perjudian serta sebarang bentuk kegiatan ganas atau tidak bermoral.

Syarikat tersebut menyatakan bahawa lesen itu perlu dipamerkan dengan jelas dan telah memperbaharuinya pada 2011.

Bagaimanapun, pada 25 April 2011, sepasukan pegawai penguat kuasa MBSA menyerbu dan menggeledah premis syarikat itu serta menahan beberapa pekerja wanita warga China dan Myanmar.

Pekerja pusat refleksologi itu mempunyai permit kerja yang sah

Pekerja-pekerja itu kemudiannya dilepaskan selepas Jabatan Imigresen mengesahkan permit kerja mereka sah.

Beberapa tilam turut dirampas dan syarikat itu dikenakan dua denda kompaun yang kemudiannya telah dijelaskan.

Akibat serbuan dan rampasan itu, syarikat terbabit mendakwa telah mengalami kerugian antara RM1,000 dan RM1,500 sehari dari 25 April sehingga 4 Mei 2011.

Serbuan dilakukan penguat kuasa MBSA menyalahi undang-undang

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh MBSA menyalahi undang-undang kerana tidak diberikan kuasa oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Mahkamah Tinggi mendapati syarat-syarat lesen tidak secara nyata melarang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan majlis perbandaraan itu pada 25 Ogos 2015 lalu.

Namun, MBSA kemudiannya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2016 untuk meneruskan kes ini tetapi lima hakim Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terakhir pada 10 Januari 2017.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.