fbpx
Now Reading
Kedai Runcit Kantoi Sorokkan 8 Kotak Minyak Masak Selepas Diserbu KPDN Melaka

Kedai Runcit Kantoi Sorokkan 8 Kotak Minyak Masak Selepas Diserbu KPDN Melaka

Menerusi video tersebut, kelihatan KPDN Melaka telah bertindak merampas minyak masak yang disimpan dalam stor kedai runcit berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu peniaga menyembunyikan barangan kawalan sering kali berlaku dan segelintir daripada mereka seolah memandang enteng perkara tersebut demi kepentingan diri.

Meskipun pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah berulang kali menasihatkan peniaga untuk tidak melakukan hal tersebut tetapi masih ada lagi yang berdegil.

Malah mereka turut tidak mengambil iktibar daripada peniaga lain yang telah dikenakan tindakan undang-undang atas sikap tidak bertanggungjawab itu.

KPDN Melaka temui 8 kotak minyak masak dalam stor kedai runcit

Perkara sama turut berlaku kepada sebuah kedai runcit apabila bertindak menyorokkan sebanyak lapan kotak minyak masak ketika diserbu oleh KPDN Melaka.

Menerusi video yang dikongsikan KPDN Melaka di TikTok, awalnya kelihatan pegawai KPDN membuat penyamaran sebagai orang awam yang kononnya ingin membeli barangan seperti minyak masak dan gula.

Ketika ditanya kepada pekerja kedai runcit mengenai minyak masak, dia memaklumkan barangan itu sudah habis.

Menyamar sebelum buat serbuan di kedai runcit

Selepas melakukan penyamaran, pasukan KPDN kemudian datang membuat serbuan dan menjalankan pemeriksaan di bahagian stor sebelum menemukan lapan kotak minyak masak paket yang disembunyikan oleh kedai runcit terbabit.

“Saya tanya satu perkara je tentang minyak masak dengan gula, awak ingatkan? Awak cakap tak ada, botol pun tak ada,” kata pegawai itu, selain turut meminta pekerja kedai tersebut menghubungi majikan mereka.

Pekerja yang merupakan warga Pakistan itu kemudian mengatakan terdapat salah faham namun tidak dapat mengemukakan sebarang bukti selepas diasak dengan soalan oleh pegawai terbabit.

KPDN rampas minyak masak, beri peringatan KPDN tak serik untuk buat serbuan

Ekoran daripada kejadian itu, pihak KPDN Melaka kemudiannya bertindak merampas minyak masak yang disorokkan.

“Orang dah cakap jangan sorok minyak masak ni, kau sorok juga ya. Kau tak serikkan?

“Kau tak serik nak sorok, abang tak serik nak langgar (serbu) kau. Kau sorok abang langgar,” katanya lagi dalam video tersebut.

Mengintai di ruangan komen, perkongsian video tersebut telah mendapat perhatian orang ramai yang memuji tindakan KPDN Melaka dalam memastikan agar perkara tersebut tidak terus berlaku.

Malah ada juga yang menyatakan perkara itu perlu dicontohi oleh KPDN di negeri lain.

“Harap dapat datang ke Pasar Raya Angee, Sg Udang. Tak pernah ada minyak masak”

“Terbaik, memang banyak kedai runcit warga asing buat macam tu. Jual barang subsidi untuk orang dia je”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.