Letak Kalimah Allah Pada Kain Hitam Baluti Tubuh Perempuan, FINAS Arah Tukar Poster Filem Sijjin
Filem Sijjin daripada Indonesia itu menerima kritikan ramai terutamanya umat Islam di negara ini apabila didakwa tidak sensitif dengan perkara melibatkan agama Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) untuk menarik balik dan membuat penukaran poster filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin.
Hal ini berikutan poster rasmi yang dikeluarkan dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam kerana memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dalam keadaan seperti dirasuk.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah berbincang dengan GSC dan mengarahkan supaya membuat penukaran kepada poster baharu.
“FINAS ambil maklum tentang isu ini dan kami minta dan mengarah GSC untuk menarik balik serta menukar poster filem ini,” katanya dipetik Berita Harian.
Poster filem Sijjin dikritik kerana didakwa tidak sensitif
Sebelum ini, filem Sijjin terbitan Rapi Filems bersama Sky Media dan Legacy Pictures itu meraih kritikan ramai terutamanya umat Islam di negara ini apabila didakwa tidak sensitif dengan perkara melibatkan agama Islam.
Isu tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas seorang pengguna Facebook, M.D. Hafiz Afandi memuat naik poster filem terbabit sambil membahas mengenai isu penggunaan kalimah ‘Allah’.
Kalimah ‘Allah’ tidak sepatutnya diletakkan sebegitu
Menurutnya, ayat suci Al-Quran dengan nama Allah tidak sepatutnya diletakkan pada gambar seperti hantu, syaitan dan perempuan yang tidak menutup aurat.
“Dengan gambar grafik yang sebegitu menggambarkan seolah-olah ayat-ayat Allah ini sesuatu yang menggerunkan dan tidak elok, tidak nampak kemuliaan padanya, bukan begitu caranya menulis ayat-ayat Allah,” katanya.
Gimik filem Sijjin guna jenazah dikelilingi wanita bertelekung juga dikecam ramai
Terdahulu, tayangan awal Sijjin pada 22 Disember lalu juga menerima kecaman selepas gimik yang dilakukan untuk mempromosikan filem tersebut menggunakan jenazah yang dibaluti kain kafan dan dikelilingi beberapa individu memakai telekung.
Susulan itu, rata-rata pengguna media sosial dilihat memberi reaksi kurang senang tatkala melihat telekung dijadikan simbol seram.
Tidak hanya itu, mereka juga berpendapat tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton bukan Islam.
Sekadar info, Sijjin ini diadaptasi daripada filem seram ‘box office’ dari Turkiye dan akan menemui penonton tempatan bermula 28 Disember depan.