fbpx
Now Reading
Isu Kalimah Allah Pada Stoking, TMJ Gesa Pihak Berkuasa Ambil Tindakan Tegas

Isu Kalimah Allah Pada Stoking, TMJ Gesa Pihak Berkuasa Ambil Tindakan Tegas

Dalam pada itu, polis turut memaklumkan pihaknya menemui sebanyak lima pasang stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai stoking yang tertera kalimah Allah SWT dijual di cawangan KK Super Mart di Bandar Sunway.

Perkara itu kemudiannya menjadi perhatian netizen termasuklah pihak kerajaan yang menyifatkan tindakan itu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini kerana, kalimah Allah SWT yang tertera pada stoking berkenaan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Malah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memaklumkan pihaknya akan membuat siasatan berhubung isu itu walaupun syarikat serbaneka berkenaan termasuklah vendor pembekal stoking telah tampil memohon maaf.

Baca artikel berkaitan: Kecoh KK Mart Jual Stoking Tertera Kalimah Allah, KDN Lancarkan Siasatan Ke Atas Vendor

TMJ mahu tindakan tegas diambil

Terbaharu, isu hangat ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil berhubung isu tersebut.

Jelas baginda kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.

“Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu berkenaan dan memastikan isu seperti ini tidak akan berulang lagi,” titah Tunku Mahkota Johor menerusi satu hantaran di X.

Titahnya lagi, isu ini tidak boleh pandang remeh dan baginda memandang ia satu perkara yang serius serta berharap ia tidak mengganggu gugat keharmonian Malaysia.


Polis temui lima pasang stoking tertera kalimah Allah selepas buat siasatan di kilang terbabit

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah menemui sebanyak lima pasang stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah kilang di Batu Pahat Johor.

Ianya hasil siasatan terhadap kilang berkenaan pada 18 Mac selepas timbul dakwaan yang mengatakan stoking itu dihasilkan di sana.

Jelas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah hasil siasatan dilakukan mendapati kesemua stoking terbabit adalah unit yang dipulangkan tiga kedai serbaneka berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati stoking terbabit telah ditempah dari syarikat di China dan kilang itu hanya terlibat dalam proses pembungkusan serta pengedaran untuk pasaran Malaysia, terutama KK Super Mart.

Sebanyak 16 bundle stoking diperiksa

Menurut beliau lagi, operasi yang dilakukan itu melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk menjalankan pemeriksaan kepada 16 bundle stoking yang diimport dari negara China.

“Dalam 16 bundle (stoking) terdiri 18,800 pasang itu, polis tidak menemui stoking baharu yang tertera kalimah berkenaan setakat ini.

“Untuk itu, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung isu ini antaranya Seksyen 298 A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. Siasatan juga selari dengan siasatan dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman,” ujarnya lapor Berita Harian.

Harap tiada pihak melakukan sesuatu perbuatan menyalahi undang-undang

Pemeriksaan tersebut telah dilakukan berikutan terdapat maklumat yang diterima berhubung kilang berkenaan terlibat dengan pengedaran stoking tertera dengan kalimah suci itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pemeriksaan ke atas semua stoking diimport dari China dijangka selesai hari ini.

“Saya mohon semua pihak termasuk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu supaya tidak ambil tindakan menyalahi undang-undang seperti perhimpunan, ‘flash mob’ atau demonstrasi berkaitan dengan isu ini.

“Semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, malah kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau NGO ataupun pertubuhan yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.