
Rumah & Tiga Kenderaan Ahli Parlimen Beruas Terbakar, Disyaki Dibaling ‘Molotov Cocktail’
Insiden tersebut berlaku di kediaman Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, sekitar jam 2.50 pagi tadi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kediaman dan tiga buah kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan terbakar. Insiden di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar berlaku kira-kira jam 2.50 pagi hari ini (10 Januari) dan dipercayai akibat perbuatan khianat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden terbabit pada jam 3.05 minit pagi.
Pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar segera digerakkan ke lokasi berkenaan dan mendapati tiga buah kereta telah 80% terbakar.
Terdapat juga 10% kebakaran membabitkan siling dan bumbung garaj kereta.
Sabarodzi melaporkan kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada jam 4.44 pagi. Tiada mangsa cedera dilaporkan.
RUMAH AHLI PARLIMEN DAP TERBAKAR
— MYNEWSHUB (@mynewshub) January 10, 2024
Rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham di Perak terbakar kira-kira jam 2.50 pagi dipercayai akibat perbuatan khianat.
Ketua Polis Perak, Datuk Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian tersebut dan menggesa… pic.twitter.com/8sW5bE7VVT
Kebakaran Disyaki Berpunca Daripada ‘Molotov Cocktail’
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah menerima panggilan daripada Koo Ham pada jam 2.55 pagi tadi yang melaporkan kejadian berkenaan.
Kebakaran tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu jenis Mercedes Benz, Honda CRV yang rosak di bahagian bampar belakang, dan bahagian hadapan Toyota Hilux.
“Turut ditemui di lokasi kebakaran satu botol disyaki molotov cocktail,” kata Mohd Yusri.
Sehubungan dengan itu, satu kenyataan media berkenaan insiden tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
DAP Kutuk Tindakan Keganasan
Dalam pada itu, parti DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan membaling ‘molotov cocktail’ di kediaman Koo Ham yang mengancam keselamatan keluarganya.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa segala bentuk keganasan tidak seharusnya diterima dalam menangani perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, DAP menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil serius insiden ini serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.
“Laporan polis telah dibuat dan kami yakin pihak polis akan bertindak tegas dan cepat untuk menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah tersebut,” kata Anthony dalam kenyataan itu.

Koo Ham Cadang Lantik Pakar Perlembagaan Bukan Islam
Sebelum ini, Koo Ham yang juga merupakan seorang peguam dan pemimpin parti DAP, telah menjadi perbualan hangat kerana mencadangkan agar pakar perlembagaan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam di Perak.
Namun begitu, beliau telah tampil memohon maaf atas cadangannya. Katanya, dia tidak berniat untuk masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan tersebut.