1 Dari 5 Kanak-Kanak Alami Masalah Bantut, Selangor Paling Tinggi
Masalah bantut di negara ini semakin membimbangkan apabila NHMS 2022 menunjukkan satu dari lima kanak-kanak berusia bawah lima tahun mengalami masalah ketinggian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui setiap kanak-kanak yang lahir mempunyai graf standard untuk mengukur tumbesaran mereka seperti berat, ketinggian, daya pemikiran, kebolehan dan sebagainya.
Oleh itu, graf yang disediakan itu secara tidak langsung dapat mengetahui sama ada kanak-kanak yang ada di sesebuah negara membesar dengan baik atau sebaliknya.
1 daripada 5 kanak-kanak alami masalah bantut
Baru-baru ini, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (MHNS) 2022 menganggarkan seramai 498,327 atau 21.2% yang bersamaan dengan satu dari lima kanak-kanak bawah lima tahun mempunyai masalah ketinggian.
Malah menerusi data yang dikeluarkan itu, negeri Selangor telah mencatatkan populasi kanak-kanak terbantut paling tinggi berbanding negeri lain iaitu seramai 110,480 budak, dan ia diikuti oleh Sabah dan Labuan dengan 69,627, Johor seramai 48,725 manakala Kedah mencatat 41,168.
Sikap tidak kisah ibu bapa jadi punca utama kanak-kanak bantut
Perkara ini secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan apabila terjadinya kanak-kanak bantut dan menerusi kajian dilakukan menunjukkan sikap tidak acuh ibu bapa menjadi punca utama kepada masalah tersebut.
Malah ia menjadi trend apabila dapat dilihat kebanyakan budak pada hari ini berada dalam kumpulan yang berdepan dengan masalah ketinggian.
Menurut Pakar Perundingan Pediatrik Endorkrinologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini antara puncanya adalah keyakinan orang tua kepada kanak-kanak yang yakin bahawa anak mereka akan tinggi nanti.
Isu ketinggian tak dianggap kritikal sebab ibu bapa juga rendah
Selain itu, masalah ketinggian ini juga tidak dianggap sebagai sesuatu yang kritikal dan perlu dibimbangkan memandangkan ibu bapa juga rendah.
“Sikap ‘tidak apa, saya sendiri bukan tinggi sangat’ membuatkan ramai tidak sedar perkembangan anak mereka tidak selari dengan usia hinggakan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendedahkan kelaziman yang jauh lebih tinggi, berbanding kajian pada 2015 dan 2019.
“Kita mahu generasi masa hadapan lebih tinggi dari sekarang dan bukan semakin pendek.
“Ketinggian melambangkan status kesihatan seseorang, seterusnya status kesihatan negara secara umum,” ujarnya, dipetik Berita Harian.
Penduduk ada masalah bantut tak ada kemudahan kesihatan yang baik seperti makanan dan persekitaran
Jelas pakar itu lagi, penduduk yang mempunyai masalah ketinggian atau bantut tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang bagus contohnya makanan tak sihat, persekitaran tak memberangsangkan.
Perkara ini secara tidak langsung memberi kesan kepada imej negara yang sedang membangun.
“Peningkatan prevalen kebantutan semakin merisaukan berbanding data 2019 dan 2015, membuktikan isu ini memang masalah serius.
“Seperti dilaporkan, data NHMS 2022 menunjukkan satu dalam lima kanak-kanak bawah usia lima tahun mengalami kebantutan.
“Peningkatan kadar bantut ini jelas menunjukkan isu ini walaupun sudah dimaklumkan dalam data negara, masih belum ditangani secara menyeluruh,” jelas Doktor Azriyanti lagi.
Banyak kempen dilakukan pihak KKM dan hospital universiti untuk beri kesedaran
Setakat hari ini, terdapat banyak kempen atau program kesedaran mengenai masalah ketinggian telah dijalankan pihak Kementerian Kesihatan dan hospital universiti (di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi).
Kempen dilakukan ini termasuklah kepada orang awam khusunya kepada mereka yang bergelar ibu bapa.
Menurut beliau, antara kempen yang dijalankan adalah seperti:
- Aktiviti oleh Persatuan Pediatrik Malaysia untuk melatih dan tingkatkan lagi kesedaran tentang pentingnya isu tumbersaran untuk dikenal pasti pada peringkat awal oleh doktor.
- Maklumat turut diwar-warkan menerusi media.
Namun masih ramai ibu bapa yang tidak mengerti serta tidak membawa anak mereka untuk mendapatkan konsultasi awal daripada doktor.
Tindakan ini membuatkan isu berkenaan semakin serius. Sekiranya ia tidak diatasi, dirawat mahupun dipantau dengan kadar segera ia boleh mengakibatkan kanak-kanak terus terbantut sehingga usia mereka menginjak kepada remaja serta dewasa.
Kekurangan nutrisi makanan punca kanak-kanak menjadi bantut
“Kebanyakan masalah terbantut dalam kalangan kanak-kanak, terutama bawah umur lima tahun disebabkan oleh kekurangan nutrisi dan zat.
“Isu ini juga sangat berkait rapat dengan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak ini seperti ‘isu picky eater’ atau masalah autisme.”
Ibu bapa juga perlu pandai dalam menangani masalah pemakanan tak sihat serta tingkah laku anak terhadap pemakanan.
“Tidak dinafikan keadaan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa antara faktor kanak-kanak tidak mendapat nutrisi sebaiknya, tetapi ramai juga kanak-kanak yang ibu bapa tidak bekerja mengalami masalah sama.
“Isu lebih penting di sini ialah pemahaman ibu bapa terhadap jenis makanan yang sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak sedang membesar.”
Ujarnya di dalam kajian Prof Grasgruber pada 2020 sehingga 2022 menunjukkan penduduk negara yang mengamalkan pemakanan yang banyak protein contohnya, ayam, daging serta ikan mempunyai ketinggian yang lebih berbanding mereka yang mengambil pemakanan ruji seperti beras dan gandum.
Jika di negara ini, makanan yang dimakan kanak-kanak lebih cenderung kepada nasi serta mi berbanding dengan sumber protein dari haiwan.
Terdapat banyak faktor masalah bantut
Bukan hanya itu pengambilan susu juga dilihat kurang berdasarkan laporan NHMS 2017 yang mencatat sebanyak 75%.
Antara faktor lain kepada masalah bantut adalah:
- Tidak mempunyai tidur yang cukup antara sembilan hingga 11 jam sehari (bergantung kepada usia). Perkara ini adalah untuk memastikan hormon tumbesaran mereka dapat disalurkan dengan menyeluruh kepada badan semasa tidur.
- Aktiviti senaman bergraviti yang kurang seperti melompat, berlari, berjalan dan juga badminton di mana ia dapat memberi stimulasi serta rangsangan di bahagian tulang.
Boleh beri kesan kepada emosi dan psikologi
Masalah bantut dialami kanak-kanak turut memberi cabaran kepada mereka, ujar pakar berkenaan masalah ini juga boleh memberi kesan kepada emosi serta psikologi mereka.
Ini kerana akan berlakunya isu seperti buli, tekanan rakan sebaya, rasa rendah diri yang mendatangkan masalah psikologi seperti murung.
Selain itu ia juga memberi masalah apabila sudah dewasa seperti:
- Sukar untuk memandu.
- Sukar melahirkan anak bagi wanita
- Sukar untuk mendapat pekerjaan
Secara amnya masalah ketinggian serta kurang nutrisi ini sesuatu yang membimbangkan. Malah kajian Prof Lee WS pada 2023 turut menunjukkan masalah ini setinggi 16-20% seperti yang dilaporkan NHMS sebelum ini.
“Kajian ini dilakukan di klinik seluruh Malaysia. Selain itu, isu bantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak di kawasan perumahan program perumahan rakyat termiskin (PPRT) sangat tinggi dan membimbangkan.
“Jadi, ibu bapa perlu segera membawa anak berjumpa doktor jika anak terlalu pendek dibandingkan dengan adik beradik (pada umur sama) dan rakan sekolah.
“Sekiranya tidak pasti, jumpa doktor pakar seperti pakar pediatrik atau pediatrik endokrinologi kerana walaupun ibu bapa rendah, anak tidak semestinya terbantut. Buang sikap tidak mengapa dan lebih prihatin dengan masalah tumbesaran anak-anak,” jelasnya lagi.