fbpx

Mamat Exist Diperintah Jalani Rawatan Psikiatri Di Hospital Permai Mulai Hari Ini

Mamat Exist turut berharap agar para peminat terus mendoakan dirinya yang kini berdepan dakwaan memiliki dan menghisap dadah selain perlu menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas vokalis Exist, Mamat dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai selepas dimohon oleh peguamnya, Azlina Abdul Aziz.

Permohonon itu dibenarkan oleh Hakim Fatimah Zahari selepas Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 46, selaku tertuduh didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah.

Bagaimanapun penyanyi lagu Untukmu Ibu itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di hadapan Fatimah Zahari dan Mahkamah Majistret, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mamat mohon doa dari para peminat

Berkongsi lanjut, Mamat turut berharap agar para peminatnya terus mendoakan dirinya yang kini berdepan dakwaan terbabit dan perlu menjalani rawatan psikiatri.

“Alhamdulillah, sekarang ni saya tengah hadapi kes 39C (Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952). Selain itu saya juga perlu dihantar ke Pusat Psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjut bermula hari ini.

“Semoga semua peminat dapat beri sokongan yang lebih baik untuk saya agar boleh teruskan dalam aktiviti seni selepas ini, terima kasih,” katanya dipetik Kosmo.

Mamat berdepan dua pertuduhan melibatkan kesalahan dadah masing-masing dibawah Seksyen 39C dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mamat didakwa atas kesalahan miliki dan hisap dadah pada 5 tahun lalu

Dalam pada itu, Azlina turut memberitahu bahawan anak guamnya didakwa atas kesalahan lama iaitu pada 2019 lalu.

“Mamat ditahan bersama seorang rakan pada pukul 2 pagi di Taman Perling, pada 7 Januari lalu. Polis menjalankan pemeriksaan rutin dan mendapati tiada sebarang bahan terlarang dalam milikannya, malahan ujian urin yang dibuat juga negatif.

“Tetapi semasa pemeriksaan lanjut dibuat, polis mendapati Mamat berada dalam senarai dikehendaki atas kesalahan dadah pada tahun 2019, menyebabkan dia ditahan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah,” kata Azlina.

Rawatan psikiatri Mamat bermula hari ini

Jelasnya lagi, Mamat akan dibawa untuk mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai bermula hari ini (23 Januari).

“Untuk pengetahuan, Mamat sudah 10 tahun menghidap penyakit mental. Sepanjang tempoh itu dia memang ada makan ubat dan mengambil suntikan.

“Kita tunggu laporan pakar pada 20 Februari depan. Saya percaya Mamat boleh berubah, kita tahu dia banyak kes tetapi saya percaya kepada peluang kedua,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.