fbpx
Now Reading
Tanah Runtuh Di Cameron Highlands: 2 Mayat Ditemui Tertimbus, Semua Mangsa Warga Myanmar

Tanah Runtuh Di Cameron Highlands: 2 Mayat Ditemui Tertimbus, Semua Mangsa Warga Myanmar

Tiga yang lain termasuk seorang wanita setakat ini belum ditemui dan dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (26 Januari), negara digemparkan lagi dengan berita tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang.

Kejadian yang melibatkan lima mangsa warga Myanmar yang tinggal di rumah kongsi berdekatan kebun sayur itu dilaporkan berlaku sekitar jam 2.51 pagi tadi oleh pihak berkuasa.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu.

Jalan kecil ke lokasi kejadian terputus akibat runtuhan tanah

Setibanya di lokasi, pihak polis mendapati jalan untuk menujuk ke lokasi kejadian telah terputus dan terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4).

Selain itu, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands juga telah bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa tertimbus.

Memetik Sinar Harian, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, anggota yang terlibat dalam operasi SAR berdepan cabaran apabila terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer ke tempat kejadian.

Dua mayat mangsa tanah runtuh berjaya ditemui

Mangsa pertama lelaki berjaya dijumpai pada jam 3 pagi oleh pasukan SAR dan mangsa kedua yang juga lelaki ditemui sekitar jam 12.05 tengah hari tadi, kedua-duanya dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mayat lelaki itu (mangsa kedua) dijumpai tertimbus pada kedalaman kira-kira dua meter dan terletak kira-kira 10 meter daripada tapak asal rumah berkenaan.

Menurutnya, pasukan SAR menghadapi cabaran mencari mangsa kerana kawasan itu turut mengalami beberapa lagi runtuhan tanah di sepanjang jalan kecil yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Tiga mangsa belum ditemui, dikhuatiri masih tertimbus

Tiga yang lain termasuk seorang wanita setakat ini belum ditemui dan dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Kelima-lima mangsa yang terlibat ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun, lapor Berita RTM.

Tanah runtuh bukan di bawa seliaan JKR

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan lokasi insiden bukan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Namun kementeriannya bersama JKR akan terus memantau situasi selain bersedia untuk menyalurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.