fbpx

“Dah 62 Tahun Merdeka, Salahkah Saya Letak Pemain Kel*ng?” – B Satianathan Berang Fans Selangor Komen Biadap

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Arena bola sepak tempatan nampaknya kembali diwarnai dengan isu perkauman sehingga memaksa ketua jurulatih pasukan Selangor membuka mulutnya sewaktu sidang media selepas perlawanan Selangor – Perak beberapa hari lalu.

Beliau yang pada mulanya memuji persembahan barisan pemainnya bagaimapun tidak dapat menerima tuduhan yang dia memilih Prabakaran untuk beraksi dalam kesebelasan utama sebagai pemaik bek kiri adalah disebabkan pemain itu sebangsa dengannya.

“Dalam Facebook, orang kata saya pilih bulu. Saya nak tanya, adakah salah saya letak seorang kel*ng macam saya? Kel*ng bukan pemain bola?

“Cara mereka tulis (di Facebook) macam tak pergi sekolah langsung. Dah 62 tahun kita merdeka, masih lagi maki gunakan [ayat] kel*ng, anjing. Macam itukah penyokong?

“Saya dah 62 tahun, saya datang dari kampung Melayu, saya duduk dengan orang Melayu, tetapi saya tak pernah dengar (ejekan perkauman) macam ini.

“Tapi orang kutuk dia (Prabakaran), macam orang tak sekolah. Kalau sekolah pun mungkin campur dengan Melayu sahaja, tak pernah bercampur dengan kel*ng.” tegas Satiananthan yang kelihatan berang dengan komen-komen biadab tersebut.

Hanya K Prabakaran (kanan) yang sesuai bermain di Bek kiri kerana permintaan jurulatih untuk satu lagi pemain tambahan belum ditunaikan pihak pengurusan Foto : YahooSports

Tambah jurulatih kelahiran Perak itu lagi, pasukan Selangor di zaman kegemilangan mereka satu ketika dahulu, turut menggunakan resepi sama, percampuran pemain pelbagai bangsa sehingga menjadikan The Red Giants sebuah pasukan yang hebat serta tiada tandingan.

Malah Sathianathan sewaktu bersama pasukan Kelantan turut membawa masuk dua orang pemain berbangsa India sehingga berjaya membantu pasukan tersebut muncul juara Piala Malaysia pada 2010.

“Selangor pada tahun-tahun mereka berjaya, empat India, tiga Cina, empat Melayu, main dalam satu pasukan, mereka menjadi juara.

“Di Kelantan, saya letak dua kel*ng, mereka jadi juara. Itu di Kelantan, yang sepatutnya main orang [Melayu] Kelantan. Di Selangor, saya letak satu dua pemain India, [penyokong] tak boleh terima.

“Kalau orang lain buat silap, ‘mat saleh’ buat silap, tak ada apa-apa. Tapi kalau kel*ing buat silap, semua nampak. Hanya disebabkan saya kel*ng, dua pemain kel*ng itu ‘anak buah’ saya, saya pilih bulu.”

“Sepatutnya perkataan kel*ng dan anjing jangan tulis di Facebook, saya akan lapor pada polis!” tegas Satiananthan.

Jurulatih kelahiran Perak itu nyata kecewa dengan masalah perkauman yang berlaku dalam sukan bola sepak. Menurutnya, pemilihan Prabakaran bukan kerana faktor bangsa, tetapi disebabkan pemain tersebut sememangnya beraksi di posisi berkenaan.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaaan baru-baru ini ada meminta pihak pengurusan Selangor untuk membawa masuk seorang lagi pemain pertahana kiri, namun katanya sehingga kini permintaaan nya itu belum lagi ditunaikan

“Cakap dengan saya [di posisi pertahanan kiri] siapa yang saya ada? Saya cuma ada Prabakaran, kemudian saya ada minta seorang lagi pemain, saya tak dapat.

“Takkan saya nak letak budak yang orang sibuk cakap AMD AMD AMD [Azrin Afiq], belum lagi, dia masih perlukan 2 atau 3 tahun, itu pun jika dia tak ‘besar kepala’.

“Mungkin saya boleh letak dia (Azrin) 10 atau 20 minit terakhir, itu cara nak membangunkan bakat seorang pemain (muda), jangan ‘bunuh’ dia terus. Siapa lagi yang saya ada? Saya nak letak seorang lagi pemain, Thamilmaran, India juga, orang akan kata ‘anak buah’ saya, ‘anak saudara’ saya, jadi isu lagi,” katanya lagi.

Masalah perkauman dalam bola sepak bukan sahaja berlaku di negara kita, beberapa negara Eropah antaranya Itali dan England turut terpalit dengan isu ini dimana pemain berkulit hitam sering menjadi sasaran ejekan perkauman.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, badan induk mahupun pengurusan kelab di negara-negara tersebut mengambil tindakan tegas mana-mana mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Mungkin sudah tiba masanya pasukan bola sepak di negara ini mengambil tindakan sama untuk memastikan masalah perkauman tidak terus mencemarkan sukan bola sepak tempatan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.