fbpx
Now Reading
Mangsa Ketiga Kes Lemas Tidur Dalam Kereta Meninggal Dunia, Polis Syaki Kebocoran Di Ekzos

Mangsa Ketiga Kes Lemas Tidur Dalam Kereta Meninggal Dunia, Polis Syaki Kebocoran Di Ekzos

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas kehilangan dua kawan akibat keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, di sini, seorang lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, dalam satu kenyataan berkata mangsa, Nor Adilah Mohd Safwan, 21 yang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, meninggal dunia pada jam 4.23 petang.

Kembar masih di rawat di ICU HAT Tuanku Mizan

Manakala kembarnya Nor Aqilah yang kritikal masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

“Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia manakala kembarnya kini dalam pemantauan doktor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdapat kebocoran pada ekzos

Menurut Shafee lagi hasil pemeriksaan yang dilakukan seorang juruteknik, mereka mengesyaki terdapat kebocoran di bahagian ekzos kereta yang dinaik empat sahabat tersebut .

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan disyaki berlaku kebocoran di bahagian ekzos kereta kerana mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.

“Akibat kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan terbabit dan mangsa tidak sedarkan diri kerana terhidu gas,” katanya.

Terdahulu, dua rakannya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ayuni Shazwanie Shabri, 21, di Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi.

Keempat-empat mangsa, yang baru pulang bercuti di Pulau Jerejak difahamkan berhenti berehat di stesen minyak tersebut sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah .

Ditemui ayah salah seorang mangsa

Lebih memilukan apabila kesemua mereka ditemui sudah tidak sedarkan diri oleh bapa arwah Fariesha yang cuba menjejaki mereka kerana bimbang selepas mereka tidak pulang ke rumah pada jam 11 malam selepas kali terakhir bermesej bersama ibunya pada 9.15 malam.

Dia yang mendapati enjin kereta dinaiki empat sahabat itu masih hidup manakala kesemua mereka sudah tidak sedarkan kemudiannya terus menghubungi petugas perubatan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.