fbpx
Now Reading
Hilang Kerja Akibat Covid-19, Bekas Jurutera Oil & Gas Bangkit Jadi Pengusaha Kosmetik

Hilang Kerja Akibat Covid-19, Bekas Jurutera Oil & Gas Bangkit Jadi Pengusaha Kosmetik

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semua orang pasti bersetuju jika kami katakan yang wabak COVID-19 telah memberikan impak yang buruk terhadap masyarakat di seluruh dunia.

Paling ketara adalah kemelut ekonomi yang mendadak dan akhirnya mengakibatkan banyak syarikat terpaksa menggulung tikar dan menanggung kerugian. Ini secara tidak langsung menyebabkan jutaan manusia hilang pekerjaan.

Namun, apa yang terjadi bukanlah satu penghalang buat golongan terjejas untuk terus meraih pendapatan sendiri. Sebaliknya ramai yang kembali ‘bangkit’ malah semakin kreatif demi sesuap nasi.

Buat Fazrul Azreen, dia yang pada mulanya tertekan dan khuatir akan masa depannya kini menjadikan musibah tersebut sebagai satu peluang untuk dia memulakan perniagaan kosmetiknya sendiri.

Mengakui modal yang dikumpul hasil duit simpanannya tidak mencukupi, Fazrul kemudian menggandakan usahanya untuk mengumpul dana dengan melakukan beberapa jenis pekerjaan seperti menjual air kopi di jalanan dan bekerja part time sebagai pemandu e-hailing.

Hasilnya bekas jurutera kimia yang pernah berkhidmat selama hampir 9 tahun dengan syarikat Oil & Gas nasional dan syarikat MNC ini berjaya mengumpulkan dana dan mula bangkit demi masa depannya.

Ikuti perkongsian Fazrul Azreen di bawah kami rasakan mampu menjadi inspirasi untuk anda di luar sana :

Tidak pernah saya sangka kerjaya saya sebagai jurutera minyak & gas yang saya ceburi lebih 10 tahun ini berubah menjadi pengusaha kosmetik akibat virus Covid-19. Semuanya bermula apabila diberhentikan kerja gara-gara syarikat mempunyai masalah untuk membiayai pekerja akibat virus yang melanda.

Saya bekerja sebagai Jurutera minyak & gas bersama syarikat minyak nasional selama hampir 9 tahun dan kemudian saya berpindah ke syarikat minyak dan gas milik Amerika Syarikat yang bertempat di Kuala Lumpur. Ini kerana pada masa saya bekerja bersama syarikat terdahulu saya ditempatkan di Pengerang, Johor yang jauh dengan keluarga. Pada ketika itu, isteri punya masalah kesihatan dan saya terpaksa meletakkan jawatan untuk lebih dekat bersama keluarga iaitu di Seremban. Alhamdulillah saya diterima masuk ke syarikat milik Amerika Syarikat itu sekitar akhir tahun 2019. Saya sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Sekitar Jun tahun ini saya diberhentikan kerja, ketika itu saya sangat tertekan kerana masa depan kelihatan gelap dan tidak pernah berdepan sebegini rupa.

Gunakan kelebihan sebagai jurutera kimia untuk hasilkan produk kosmetik

Secara jujurnya, industri kosmetik ini tidak asing bagi saya kerana sebagai seorang jurutera kimia saya sangat berminat untuk mengetahui isi kandungan yang ada di setiap makeup tersebut tidak kiralah lipmatte, foundation, lipsticks mahupun maskara. Semuanya saya nak tahu dan teroka. 

Dalami dunia kosmetik semasa masih bekerja. Guna Ekstrak sarang burung

Semasa saya bekerja bersama syarikat dari Amerika Syarikat itu saya diberi peluang untuk menjelajah beberapa negara, seperti Taiwan, Thailand, Korea, Vietnam dan lain lain lagi. Peluang ini saya gunakan untuk mendalami dunia kosmetik ini dengan berjumpa pembuat kosmetik dan juga pakar-pakar di sana. Apa yang menarik perhatian saya, mereka menggunakan bird nest extract formula untuk menghasilkan sesuatu produk kosmetik. Khasiat bird nest extraction ini banyak digunakan untuk anti-penuaan, mengelak muka berkedut, muka tampil berseri dan sihat. Dan formula inilah saya gunakan untuk mengetengahkan dalam penghasilan produk Hummingbird Cosmetics kerana belum ada lagi mana-mana produk kosmetik dari Malaysia menggunakan formula ini.

Banyak dibantu isteri, seorang pakar perubatan KKM

Alhamdulillah usaha saya ini dibantu oleh isteri yang merupakan doktor pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia, beliau banyak menasihati saya berkenaan isi kandungan yang selamat digunakan untuk penggguna. Syukur ke hadrat Ilahi berkat usaha ini, bukan saja mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari KKM dan JAKIM malah dari Korea Food and Drug Administration (KFDA) selaku pembekal barangan mentah.

Jual kopi & jadi pemandu e-hailing demi kumpul dana

Dalam menghasilkan sesuatu produk kosmetik, modal untuk menghasilkan dan mengembangkannya sangatlah tinggi. Jujur saya katakan, walaupun setelah lebih 10 tahun berkhidmat sebagai jurutera oil & gas, duit simpanan pada ketika itu tidak mencukupi untuk projek ini. Sejak saya diberhentikan kerja, saya berniaga menjual kopi di jalanan, tidak cukup dengan itu saya bekerja separuh masa juga sebagai pemandu e-hailing. Semua ini saya lakukan agar Hummingbird Cosmetics cukup dana untuk meneruskan cita-cita ini.

Produk yang dihasilkan Fazrul Azreen

Alhamdulillah selepas hampir setahun berhempas pulas untuk menjayakan projek ini, akhirnya Hummingbird Cosmetics lahir di dunia nyata pada 1hb Disember lalu dengan produk pertama adalah lipmatte. Sambutan di hari pertama pelancaran benar-benar di luar jangkaan saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terus memberi sokongan dan galakan. Tidak lupa juga kepada keluarga, sahabat handai dan team Hummingbird yang berhempas pulas untuk menjayakan projek ini.

Buat anda di luar di sana, terutama mereka yabg terjejas akibat Covid-19, kami doakan urusan anda dipermudahkan dan rezeki anda dilipatgandakan. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi untuk anda kembali bangkit.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.