“Sebelum Ni Hanya Tengok Drama” – Wanita Cemas Bayi Tertukar Di Hospital [Video]
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak malam tadi hangat diperkatakan di media sosial mengenai kisah seorang wanita yang terkejut selepas mendapati bayi yang baru dilahirkannya tertukar selepas dibawa pulang ke rumah dari sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Wanita tersebut Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall bagi pengguna Facebook difahamkan hanya menyedari perkara tersebut selepas suaminya terlihat tag nama pada kaki bayi tersebut yang tertera nama seorang wanita lain sewaktu mahu memotongnya.
Perkara tersebut dikongsikan ibu muda ini menerusi satu perkongsian di Facebook (FB) Live bermula pukul 7.40 malam yang berterusan selama hampir 2 jam.
“Nasib baik baca nama tag kaki”
“Saya tidak tahu apa nak cakap, saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain pada kaki bayi lelaki ini.
“Bila saya balik, suami saya cabut tag pada kaki bayi dan suami hampir buang tag. Nasib baik baca nama tag kaki, tapi bila tengok nama ibu di tag kaki, nama ibu lain iaitu Dianah.
Mereka kemudian terus menghubungi pihak hospital sebelum bergegas ke sana sampil meneruskan video tersebut yang ditontoni ribuan pengguna Facebook secara langsung.
“Ini bukan drama, ini realiti. Sebelum ini hanya tengok drama anak tertukar, tapi kini jadi betul-betul kepada diri saya.
“Jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila kami menyangka dia anak kami walaupun saya memang ada terdetik kenapa wajah anak saya ketika dilahirkan itu lain dengan yang ini.
“Saya memang ‘double check’ nama ibu pada katil bayi saja sebelum mahu nak bawa keluar, saya tidak tengok pada tag nama di kaki,” katanya lagi.
Akhirnya dapat bayi mereka kembali
Namun menerusi beberapa perkongsian terbaru di FB Live terbarunya, Siti memaklumkan dia sudah menemukan bayinya itu.
“Pasangan suami isteri itu menjaga anak saya dengan baik dan bayi ini juga anak pertama mereka dan saya menganggap kejadian ini sebagai pengajaran yang tidak boleh dilupakan dan dijadikan sebagai kenangan dalam hidup.
“Saya bersyukur sangat dapat bersama kembali dengan anak saya,” ujarnya.
Malah dia turut berkongsikan perbualannya bersama Dianah, ibu yang tertukar bayi bersamanya. Jelas menerusi tangkap layar perbualan whatsapp tersebut, mereka berdua begitu terkesan dengan apa yang berlaku.
Sudah buat laporan polis
Difahamkan Siti juga sudah membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut. Malahan dia juga sudah menghubungi peguamnya dan berkemungkinan akan menuntut keadilan untuk anak mereka.