fbpx
Now Reading
Porsche Buka Kilang Di Kulim Kedah Pada 2022, Pertama Di Luar Eropah

Porsche Buka Kilang Di Kulim Kedah Pada 2022, Pertama Di Luar Eropah

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika anda ingat sekitar Februari lalu, kecoh rakyat Malaysia apabila media melaporkan satu jenama kereta mewah dari Jerman bakal membuka kilang pemasangannya di negara kita.

Meskipun masih dalam perbincangan dan tidak menyebut sebarang jenama, perkara tersebut yang didedahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Bernama nyata menarik perhatian orang ramai sehingga ramai mula berteka teki dan berpendapat jenama yang dimaksudkan adalah jenama Porsche.

Foto : Newsroom Porsche

Terbaru, Porsche menerusi laman sesawang rasmi mereka mengesahkan akan membuka sebuah kilang pemasangan model tempatan (CKD) di Malaysia pada tahun 2022.

Bertempat di Kulim, Kedah,  operasi tersebut juga sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di luar Eropah yang akan memasang kereta mereka.

Difahamkan pemilihan Malaysia bertujuan untuk memperkuatkan jenama mereka di pasaran di Asia Tenggara yang telah dikenalpasti sebagai lokasi pertumbuhan bisnes yang sangat menggalakkan.

Menurut mereka lagi, bagi operasi di Kulim ini, pemasangan akan dilakukan dengan kerjasama rakan strategik mereka,  Sime Darby Bhd.

Pemasangan ini juga akan melalui standard dan proses yang sama seperti dilaksanakan Porsche di kemudahan pemasangan dengan rakan niaganya di Eropah.

Tambah mereka, Malaysia dan ASEAN berpotensi menjadi pasaran utama syarikat pengeluar kenderaan dari Jerman itu.

Foto : Newsroom Porsche

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kerjasama dengan Porsche menandakan pengukuhan hubungan antara cabang perniagaannya, Sime Darby Motors yang terjalin sejak 11 tahun lalu.

“Pemasangan model Porsche AG dijadualkan bermula pada 2022 dan selain Sime Darby Motors juga dilantik sebagai pengedar dan peruncit eksklusif untuk jenama kereta sport ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, kualiti akan menjadi komitmen utama bersama antara Porsche AG dan Sime Darby kepada semua pelanggan dalam pemasangan kenderaan Porsche.

“Portfolio pemasangan adalah elemen penting dalam strategi pertumbuhan Sime Darby dan ia juga memperbesarkan lagi hubungan kerjasama melangkaui peruncitan dan pengedaran,” katanya lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.