fbpx

Apakah Hukum Tikam ‘Lootbox’ Guna UC Dalam PUBG? Ini Jawapan Mufti WP

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kami yakin ramai dari anda pasti tahu kewujudan permainan strategi Player Unknown’s Battle Ground yang disingkatkan sebagai PUBG.

Disebabkan ianya percuma, bukan sahaja gamer, malahan orang ramai juga tidak melepaskan peluang memuat turun permainan  yang dimainkan secara live streaming melibatkan pemain-pemain lain menjadikan ianya begitu popular masakini.

Namun ada satu persoalan sering berlegar-legar di kalangan pemainnya khususnya yang beragama islam mengenai hukum melakukan aktiviti menikam loot box atau crates menggunakan unknown cash (UC) yang dibeli menggunakan duit betul di dalam game tersebut.

Aktiviti ini juga dikenali sebagai “bakar UC”, “bakar diamond” dan sering dipopularkan streamer-streamer khususnya untuk permainan seperti PUBG dan Mobile Legend: Bang Bang (MLBB)

Peka dengan isu tersebut, seorang pengguna kemudiannya telah bertanya kepada Pejabat Mufti Wilayah, Sahibus Samahah (SS) Dr. Luqman bin Haji Abdullah mengenai hukum transaksinya.

Jadi apa kata kita ikuti penjelasan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini

Jawapan ringkas

Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.

Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.

Huraian penuh

Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.

Konsep Unknown Cash (UC)

Dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak sesama pemain, pemain juga disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter setiap pemain seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya. Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi yang diberikan dan lain-lain.

Dalam masa yang sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman. Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti Unknown Cash (UC), Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver. Pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.

UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga yang berbeza-beza mengikut penyedia (provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90. Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya. Kos yang dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.

Kebiasaan tikaman dibuat bagi mendapatkan item-item yang istimewa dan langka yang tidak boleh didapati melalui pembelian secara terus. Jadi, perbahasan di bawah akan membincangkan status hukum bagi transaksi tersebut.

Analisis hukum

Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.

Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat. Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:

-Disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
-Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
-Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah (zero-sum game).

Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas. Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki.

Pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat. Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja. Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan.

Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Surah al-Ma’idah (90)

Tambahan pula, kaedah tikaman sebegini bergantung kepada nasib semata-mata. Sedangkan permainan yang bersandarkan kepada unsur nasib semata-mata turut dilarang oleh Syarak, apatah lagi disertakan bersama wang taruhan. Ini disebutkan dalam kitab fiqh bahawa:

“Setiap permainan yang berdasarkan nasib seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan sebegini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.”[1]

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/166)

Hal ini jelas kelihatan tatkala pemain ingin menikam barang-barang yang ada dalam peti, contohnya Premium Crate. Pemain perlu membayar sebanyak 120 UC terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang untuk menikam barang. Kemudian, berlaku proses pemilihan barang akan berlaku secara rawak. Terdapat kemungkinan pemain ‘dapat dan tidak dapat’ apa yang dimahukan. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).”

Riwayat al-Bukhari (5482)

Alternatif dan Saranan

Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.

Kami sedia maklum bahawa pembelian sebegini tidak membuatkan para pemain mendapat barang-barang yang istimewa dan langka. Namun, prinsip agama menyebut secara jelas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, bahkan item tersebut bukanlah kategori barang keperluan apatah lagi mendesak.

Dalam artikel kami sebelum ini, kami ada menyebut bahawa permainan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak. Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.

Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada.

Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama. Wallahu a’lam

Kesimpulannya jawapan ini bukan hanya tertakluk kepada permainan PUBG daN MLBB malahan hukumnya sama jika melibatkan mana-mana permainan yang mempunyai unsur yang sama.

Untuk artikel penuh oleh pejabat Mufti WP tekan disini

Sebagai rekod,  berapa negara sebelum ini sudah menetang konsep loot box  dalam apa sahaja permainan kerana ia ia mempunyai unsur perjudian.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.