fbpx
Now Reading
Geram Dengan Isu Siakap Kayangan, Vida Tawar Nak Bayar Semula ‘Kerugian’ Pelanggan

Geram Dengan Isu Siakap Kayangan, Vida Tawar Nak Bayar Semula ‘Kerugian’ Pelanggan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini media sosial hangat memperkatakan mengenai kes ikan siakap yang dijual pada harga tidak masuk akal di sebuah restoran di Pulau Langkawi.

Bermula dengan perkongsian seorang individu di Facebook, kes tersebut terus menjadi hangat selepas seorang demi seorang pelanggan tampil berkongsi perkara hampir sama di mana mereka perlu berbelanja lebih RM1,000 apabila memesan ikan berkenaan di restoran tersebut.

Meskipun pemilik restoran berkenaan kemudiannya tampil menjelaskan yang harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu, kebanyakan pelanggan antaranya Lyza Saat dan rakannya, Niena ZM menegaskan pihak restoran tidak berterus terang dan berselindung dari awal mengenai saiz dan harganya.

Baca artikel berkaitan : “Dia tak cakap besar tu 6KG” -Seorang Lagi Pelanggan Tampil Dakwa ‘Terkena’ Harga Ikan Siakap Mahal Di Langkawi

Perkara tersebut kemudiannya berlarutan hingga menarik perhatian jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang dilihat bersimpati dengan nasib mereka.

Prihatin dengan isu tersebut, Vida kemudian menawarkan diri untuk membayar ‘kos kerugian’ Niena sekeluarga.

“Salam semua, saya ada baca kisah ikan siakap viral. Sementara saya masih bercuti di Langkawi ni, saya rasa terpanggil untuk saya belanja atau bayar balik harga ikan siakap yang telah dibayar oleh keluarga tersebut.

“Saya terpanggil sebab saya memang suka ikan siakap, saya sensitif isu ikan siakap, saya hantu siakap. Saya bukan nak cari viral tapi sebab saya memang di Langkawi,” katanya yang turut meminta orang ramai membantunya untuk mengesan Niena.

Niat viralkan hanya untuk beri peringatan kepada orang ramai

Namun tidak lama kemudiannya, Niena dilihat tampil menerusi satu IG Live bersama Vida.

Mengakui tidak mahu memanjangkan isu tersebut, Niena bagaimanapun menjelaskan niatnya berkongsi perkara berkenaan hanyalah sebagai peringatan agar isu sama tidak berlaku pada kepada orang lain.

“Kes ini kami ketengahkan supaya tiada lagi yang akan dianiaya oleh peniaga tersebut. Kami tiada niat pun nak viralkan hal ini,” ujarnya

Tolak tawaran Vida

Dia dalam masa sama turut menolak tawaran Vida sebaliknya mencadangkan agar usahawan kosmetik itu membelanjakan wang berkenaan ke arah kebaikan lain antaranya dengan membantu peniaga kecil di Langkawi.

“Bukan kami sombong untuk tidak menerima pelawaan Datuk tetapi alhamdulillah rezeki kami masih ada. Kami cuma kecewa dengan etika peniaga tersebut kerana tidak telus.

“Saya dan rakan-rakan lain sudah sepakat, jika Datuk masih nak berikan wang tersebut, sebaik-baiknya salurkan kepada individu lain atau bantu peniaga-peniaga kecil di Langkawi”

Di penghujung video tersebut, Niena turut memberi peringatan kepada para peniaga agar tidak berniaga dengan telus dan tidak menganiaya pelanggan.

“Kepada peniaga, berniagalah dengan telus kerana Allah SWT. Janganlah aniaya pelanggan,” pesan Niena lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.