fbpx
Now Reading
Pelaku Baling Batu Di Lebuhraya Sudah Ditahan Polis, Mengaku Lakukannya Kerana Bengang Pernah Dihimpit Lori

Pelaku Baling Batu Di Lebuhraya Sudah Ditahan Polis, Mengaku Lakukannya Kerana Bengang Pernah Dihimpit Lori

Suspek ada tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah serta kes dadah selain positif dadah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini tular di media sosial satu rakaman dashcam memperlihatkan seorang pemandu mengalami detik mencemaskan apabila sebiji batu besar dicampak ke arah kenderaannya sehingga menyebabkan cermin hadapannya pecah.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh seorang individu yang membaling beberapa biji batu dari atas jejantas di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, Bandar Darul Aman.

Pemandu berkenaan bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaaan dan mampu mengawal kenderaannya dari terbabas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan kemudiannya mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden tersebut dan menjelaskan pihak sedang mengenal pasti suspek.

Terbaharu, petang tadi beliau memaklumkan pihaknya sudah berjaya menahan suspek di lokasi sama selepas sepasukan polis menemuinya dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 1.45 petang.

Jelasnya, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra sebelum itu melihat suspek yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berhenti di atas jejantas tersebut.

Sebaik melihat suspek cuba mencapai sesuatu di dalam motosikalnya, mereka terus menghampirinya untuk melakukan pemeriksaan. Hasilnya, polis menjumpai dua ketul batu di dalam raga motosikal tersebut.

Suspek mengaku membaling batu tempoh hari

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku telah terlibat dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan lebuh raya seperti mana laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ada 7 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah

Suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah serta kes dadah dan hasil ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Tangkapan dan rampasan barang kes telah dilakukan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Suspek juga kemungkinan akan disiasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya,” katanya lagi.

Baling batu kerana tidak berpuas hati dengan pemandu lori

Menerusi laporan Metro pula, Rodzmi mendedahkan suspek turut mengakui nekad melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu kerana tidak berpuas hati dan marah kepada pemandu-pemandu lori kerana dia pernah dihimpit sebelum ini.

“Kita menerima dua laporan polis berhubung kejadian ini, manakala Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memaklumkan mereka menerima tiga laporan berhubung kejadian itu,” katanya lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.