Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar tidak mewajibkan penerima dos penggalak untuk menandatangani surat melepaskan tuntutan ganti rugi.
Sebaliknya beliau menerusi satu ciapan di Twitter mencadangkan KKM agar memberi jaminan akan membayar pampasan sekiranya berlaku sebarang kesan buruk terhadap penerima dos penggalak tersebut.
Jelas beliau, cadangan ini dikemukakan sekiranya KKM yakin bahawa tiada risiko yang buruk pada dos penggalak tersebut.
Menerusi laporan Sinar Harian, beliau berkata, tindakan ini perlu diambil bagi menangkis kemarahan segelintir rakyat Malaysia apabila timbul dakwaan terdapat kematian selain tuduhan ia dijadikan satu perniagaan.
“Ada yang mendakwa maut. Di pihak KKM pula sering menafikan. Supaya tidak berlaku ketidakadilan, maka KKM boleh membuktikan apa yang pihak mereka kata selama ini benar dengan memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku kesan buruk ke atas penerima.
“Ini baru seimbang dan bukti dakwaan KKM ini jujur bukan kerana ada unsur lain seperti bisnes dan seumpamanya seperti yang dituduh.
“Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan,” kata Dr Maza.
Sudah ada penerima bantuan khas kesan vaksin
Sebagai info, KKM sebelum ini melaporkan sudah terdapat beberapa permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 diluluskan oleh Jawatankuasa Induk.
Malah mereka turut menyediakan laman panduan agar penerima vaksin yang terkesan dapat memohon bantuan tersebut.
Difahamkan, setakat 26 November 2021, 93 permohonan sudah diterima KKM di mana 8 sudah diluluskan dengan sejumlah RM132,500 dalam proses pembayaran.