fbpx
Now Reading
Lama Makan Hati, Pengawal Keselamatan Akhirnya Berjaya Tuntut RM58,000 Gaji OT Selama 3 Tahun

Lama Makan Hati, Pengawal Keselamatan Akhirnya Berjaya Tuntut RM58,000 Gaji OT Selama 3 Tahun

Dengan bantuan Sivarajan dan Jabatan Tenaga Kerja, majikan Murali akhirnya bersetuju membayar wang tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu membabitkan gaji dan elaun yang rendah bukan satu lagi perkara baru di Malaysia. Antara pekerjaan yang kerap dikaitkan dengan isu gaji rendah ini tidak lain dan tidak bukan pastinya pengawal keselamatan.

Terbaharu tular di media sosial satu perkongsian di Facebook seorang pengguna, Arul PSM dipercayai dinukilkan oleh Sivarajan Arumugam iaitu Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengenai kejayaan seorang pengawal keselamatan yang berjaya meraih RM58,000 selepas memfailkan beberapa tuntutan gaji terhadap majikannya.

Murali Vengu, yang bekerja menjaga keselamatan sebuah bengkel kereta kemalangan dan pusat tuntutan insurans difahamkan telah memfailkan tuntutan tersebut iaitu gaji kerja lebih masa (OT), gaji cuti hari rehat dan juga gaji cuti hari kelepasan pada bulan Oktober 2021.

Satu-satunya jaga, dan tidak diperuntukkan cuti

Difahamkan, dia merupakan satu-satunya pekerja kawalan keselamatan atau jaga di tempat tersebut. Dengan ketiadaan tenaga tambahan, Murali terpaksa bekerja 14 jam setiap hari dari pukul 7 malam sehingga 9 pagi, setiap hari tanpa hari cuti selama 3 tahun.

Bahkan dia terpaksa bekerja pada hari minggu dan juga cuti umum tanpa mendapat sebarang bayaran tambahan.

 “Walaupun beliau sepatutnya hanya bertugas selama 12 jam, iaitu dari jam 7 malam sehingga 7 pagi, tetapi biasanya beliau diminta untuk tunggu sehingga kerana pejabat masuk kerja pada jam 9 pagi.  Jadi, beliau bekerja sehingga 14 jam setiap hari.

“Murali juga tidak diperuntukkan apa jua cuti rehat setiap minggu, cuti tahunan dan diminta juga kerja pada hari kelepasan am,” kata Sivarajan.

Isteri terpaksa ganti jika Murali ada urusan penting

Lebih menyedihkan apabila dia kadang-kala terpaksa meletakkan isterinya di pos pengawal sebagai pengganti sekiranya perlu ke mana-mana untuk menguruskan perkara penting.

Semua usaha yang dilakukannya bagaimanapun tidak mendapat balasan yang setimpal apabila hanya dibayar RM1,550 setiap bulan iatu RM1,300 gaji asas ditambah elaun petrol sebanyak RM250. Jumlah tersebut difahamkan kekal sehinggalah dia nekad berhenti kerja pada tahun 2018.

“Walaupun bekerja 12jam hingga 14 jam setiap hari, tetapi beliau hanya menerima gaji asas sebanyak RM 1,300 dan elaun petrol sebanyak RM250 setiap bulan. Sehingga beliau berhenti kerja pada tahun 2018, beliau langsung tidak dibayar gaji kerja lebih masa OT.”

Namun sehingga dia berhenti, segala pembayaran gaji kerja lebih masa (OT) tetap tidak dibayar oleh majikannya.

Atas bantuan Sivarajan, Murali akhirnya berjaya mengadakan rundingan damai di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Subang Jaya. Pihak majikan yang cuba mengelirukan pegawai JTK dengan menyatakan tuntutan berkenaan adalah tidak benar akhirnya ‘terkantoi’ apabila pemeriksaan lanjut menunjukkan sebaliknya.

“Saya yang mewakili pekerja semasa rundingan damai, telah menerangkan bahawa tuntutan Murali sebenarnya melibatkan pelbagai komponen, seperti tuntutan bayaran gaji kerja lebih masa (OT) pada hari kerja biasa, hari rehat dan hari kelepasan am, di samping gaji kerja hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan am yang tidak dibayar. Majikan pun mengaku bahawa bayaran gaji kerja lebih masa sememangnya tidak dibayar kepada Murali, maka mereka mencadangkan suatu penyelesaian untuk dibincangkan tanpa melalui perbicaraan penuh. “

Majikan akhirnya setuju bayar RM58k

“Selepas beberapa kali rundingan antara majikan dan pegawai, akhirnya majikan bersetuju untuk membayar sebanyak RM58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian. Jumlah tersebut adalah lebih kurang bersamaan dengan gaji kerja lebih masa sebanyak RM1,600 sebulan untuk 3 tahun”

Jelas Sivarajan lagi, sebenarnya masih ramai yang berdepan isu sama meskipun undang-undang buruh telah menetapkan yang majikan perlu membayar wang tersebut. Justeru beliau mengingatkan orang ramai khususnya pekerja keselamatan agar mengetahui hak mereka.

“Seperti Murali, ada ramai lagi pekerja kawalan keselamatan yang ditipu tanpa dibayar gaji kerja lebih masa, walaupun ianya jelas dinyatakan sebagai amaun yang perlu dibayar oleh majikan dalam Akta Kerja. Jadi, lebih ramai lagi pekerja kawalan keselamatan harus memastikan bahawa hak mereka terbela dan kiraan gaji mereka merangkumi bayaran gaji kerja lebih masa.

“Rakyat pekerja hanya dapat mengajar majikan-majikan seperti ini, jika lebih ramai lagi yang menfailkan kes dan mengheret mereka ke Mahkamah Buruh. Tindakan ini amat penting, demi memastikan industri pengawal keselamatan ini menghentikan penindasan dan perampasan hasil titik peluh pekerja tanpa membayar gaji OT.”

Sivarajan Arumugam 

Baca artikel berkaitan :

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.