Kerajaan Singapura mula melonggarkan peraturan Covid-19 termasuk menarik semula sekatan bagi pelawat divaksin sepenuhnya yang tiba ke negara itu serta menggugurkan syarat memakai pelitup muka di luar rumah.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam satu ucapan pada Khamis pagi (24 Mac).
Ini bermakna rakyat dan pengunjung di Singapura kini diberikan pilihan sama ada untuk kekal memakai pelitup muka atau boleh menanggalkannya di luar rumah.
Mereka bagaimanapun masih perlu menggunakan pelitup muka sekiranya berada di dalam bangunan dan tempat tertutup.
Jelas Hsien Loong, semua kelonggaran ini akan mula dikuatkuasakan bermula 29 Mac 2022.
Menurut laporan Straits Time, Singapura juga akan membenarkan perhimpunan dalam kumpulan sehingga 10 orang yang sebelum ini dihadkan kepada 5 orang sahaja. Mereka juga akan mula meningkatkan had kapasiti bagi tempat kerja dan sebarang majlis.
Sebagai rekod, Singapura antara negara terawal yang beralih kepada strategi hidup bersama COVID-19, tetapi terpaksa memperlahankan beberapa rancangan pelonggarannya berikutan penularan wabak Omicron.