fbpx
Now Reading
Digeruni Ramai Mat Rempit, Skuad 42 Ada Kuasa Tangkap & Saman Pesalah Jalan Raya Di Mana-Mana Sahaja

Digeruni Ramai Mat Rempit, Skuad 42 Ada Kuasa Tangkap & Saman Pesalah Jalan Raya Di Mana-Mana Sahaja

Ini kerana anggota Skuad 42 akan mengikuti beberapa prosedur terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Nama Skuad 42 mungkin kedengaran asing di kalaangan sesetengah dari kita, namun nama ini sebenarnya cukup ditakuti oleh geng-geng mat rempit di seluruh negara.

Ini kerana Skuad 42 atau nama rasminya Skuad Unit Risikan Operasi yang terletak di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sering kali dilihat mengawasi dan ‘memerhatikan’ salah laku pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Jika tersilap gaya, anda mungkin ditahan oleh anggota Skuad 42 yang agak sukar dikenal pasti kerana kerap melakukan penyamaran.

Terbaharu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook menjelaskan, anggota Skuad 42 boleh mengeluarkan saman dan tangkapan ke atas penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di mana-mana sahaja dan tidak terhad ketika operasi.

Ini kerana pegawai dan anggota Skuad 42 yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan lumba haram akan mengikuti prosedur yang bermula dengan pemerhatian dan pengecaman terlebih dahulu terhadap penunggang motosikal berkenaan.

Mereka kemudian akan melakukan semakan menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Cara polis menahan dan mengeluarkan saman di premis juga adalah wajar dan berupaya mengurangkan risiko kemalangan terhadap pesalah trafik dan anggota polis yang menjalankan tugas berkenaan.

“Kaedah ini adalah salah satu cara dalam operasi Skuad 42 dalam mencegah dan menangkap mereka yang terbabit lumba haram,” katanya kepada Harian Metro.

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai mengulas satu video tular di Facebook di mana seorang wanita mempertikaikan tindakan pihak polis yang mengeluarkan saman ke atas seorang remaja 16 tahun yang sedang makan di sebuah kedai di Taman Mahsan, Jempol.

Video tersebut bagaimanapun sudah dipadam wanita berkenaan selepas netizen mempersoalkan tindakannya kerana mempertikaikan tugas polis.

Menurut Hoo, polis pada Ahad lalu (20 Mac) telah mengeluarkan tiga saman kepada remaja tersebut di atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu yang sah, tiada nombor pendaftaran (hadapan) dan aksesori tidak sempurna.

Ianya selepas anggota polis berpakaiaan preman dalam op motosikal telah melakukan pemantauan risikan di sekitar Taman Mahsan.

“Ketika pemantauan dijalankan kira-kira jam 3 petang, polis mendapati terdapat seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Y15 berwarna merah tanpa memakai topi keledar dan tidak memiliki nombor pendaftaran hadapan.

“Polis kemudian mengekori motosikal berkenaan sehingga ke kedai makan berkenaan dan apabila sampai memperkenalkan diri sebelum memanggil remaja berkenaan.

“Remaja berkenaan mengaku menunggang motosikal berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan trafik yang dikesan antaranya tidak mempunyai lesen memandu yang sah, tiada nombor pendaftaran (hadapan) dan aksesori tidak sempurna,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.