fbpx
Now Reading
Tular Video Sokong Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad, 4 Lelaki Nepal Ditahan

Tular Video Sokong Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad, 4 Lelaki Nepal Ditahan

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan menghasut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini tular di media sosial satu video memperlihatkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves sambil menyatakan pendirian menyokong tindakan seorang ahli politik dari India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Video berdurasi 1 minit 18 saat itu yang dimuat naik di TikTok sebelum tular di Facebook dan WhatsApp mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya umat Islam yang mahukan mereka ditahan dan dikenakan tindakan tegas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya memaklumkan akan membuat siasatan setelah menerima laporan berhubung penularan video tersebut.

Sudah ditahan di Meru, Klang

Terbaharu PDRM memaklumkan telah berjaya menahan empat lelaki warga Nepal disyaki terlibat dalam rakaman video tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, keempat-empat suspek yang berusia 26 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan Meru, Klang pada Khamis, 16 Jun.

Penahanan tersebut dilakukan oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Abd Jalil berkata, polis turut merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang tular itu.

Masih buru suspek yang bebas

“Usaha untuk mengesan suspek yang bebas masih diteruskan dan individu yang terlibat dalam rakaman video itu diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan menghasut.

Selain itu, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 JSJ Bukit Aman di talian 03-22666071.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.