fbpx
8 tempat glamping di Selangor yang boleh dijadikan Staycation

Ini 8 Tempat Glamping Menarik Di Selangor Yang Boleh Jadi Port Staycation Korang

Dah lama nak cari tempat bercuti yang tenang jauh dari kesibukan kota. Jom ikuti kami ke lapan lokasi glamping atau glamorous camping yang boleh di jadikan sebagai ‘Staycation’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Percutian merupakan salah satu cara untuk kita meluangkan masa untuk diri sendiri atau bersama dengan rakan-rakan dan juga yang tersayang.

Tetapi ada kalanya kita mahukan suasana bebas dari kesesakan bandar serta udara yang nyaman serta lebih berkonsepkan eko dan semula jadi.

Pemandangan yang cantik sudah pastinya menjadi halwa mata yang sangat indah. Oleh itu, ‘Glamping’ atau ‘Perkhemahan dengan penuh gaya’ adalah konsep yang bersesuaian dengan keinginan anda.

Malah ia menjadi trend pada masa kini, kerana glamping ini membawa konsep yang lebih selesa dan penuh gaya astetik, pendek kata memang sesuai untuk yang ‘Instagrammable’ nak ambil gambar cantik-cantik.

Namun buat anda yang berada di Lembah Klang, pasti sukar nak temui tempat menarik untuk melepak santai kan? Jangan risau! Sebenarnya ada banyak port glamping yang menarik yang mungkin korang tak tahu.

Jadi kami di BuzzKini nak kongsikan LAPAN port glamping menarik di SELANGOR (tak jauh okay!) yang anda patut letak dalam senarai ‘Staycation’ anda.

#1 Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Foto: @47shiqiow via IG

Di sini terdapat hutan yang hijau serta luas di sekitar Resort Taman Eko Rimba Komanwel yang membuatkan pemandangan sangat indah. Malah, tempat ini juga adalah lokasi yang sesuai untuk percutian hujung minggu yang santai.

Taman Eko Rimba Komanwel adalah nama yang diberikan kerana ia menggabungkan hutan tebal dengan taman yang indah, tasik serta pelbagai ciri lain yang disediakan untuk pelancong merasai suasana yang indah di dalam hutan.

Foto: @lubarcamp via IG

Jika anda mahu ke sini, anda disarankan untuk membuat tempahan dua minggu lebih awal, kerana tapak perkhemahan di tepi tasik merupakan antara tumpuan utama para pelancong.

Selain menikmati kehijauan hutan anda juga boleh melakukan aktiviti mendaki dan ia bersesuaian untuk setiap peringkat umur.

#2 River & Glamp, Batu Caves

Foto: @riverandglam via IG

Bagi percutian Glamping kita pasti mahukan lokasi yang tepat dan semestinya mempunyai pemandangan yang indah seperti di tepi tepi sungai di Negeri Selangor. The River & Glamp yang terletak di Gombak ini lebih kurang 45 minit dari Kuala Lumpur dan 15 minit dari Batu Caves.

Lokasi ini merupakan antara lokasi yang cantik di mana ia mempunyai ciri-ciri alam semulajadi yang terbaik untuk para pelancong.

Foto: @riverandglamp via IG

Malah mereka turut menyediakan pakej makanan, di mana anda akan dihidangkan dengan tiga hidangan makanan iaitu sarapan pagi, tengah hari serta makan malam dan semuanya disajikan dalam suasana gaya glamping.

#3 Dusun Bonda, Batang Kali

Foto: @afiqahjafree via IG

Dusun Bonda ini terletak di Batang Kali, Hulu Selangor. Pada awalnya ia hanyalah sebuah vila kecil milik persendirian.

Namun, apa yang menarik adalah kawasan Glamping dan perkhemahan di sini telah disusun di dalam dusun buah-buahan dan ia memberikan suasana penginapan yang santai serta indah buat para pengunjung.

Foto: @akenggdagang via IG

Di sini juga mereka turut menyediakan kemudahan seperti air terjun dan kolam buatan untuk kanak-kanak bermandi-manda. Malah keindahan tempat ini dan aktiviti yang disediakan akan memberikan pengalaman yang menarik buat anda.

#4 Skycamp By Rimba Segara, Hulu Langat

Foto: @shaznur_hakimin via IG

Skycamp by Rimba Segara adalah satu tarikan yang baru di kawasan Hulu Langat. Pengalaman glamping di sini akan memberikan suasana yang indah dengan bunyi air sungai dan air terjun di tengah-tengah kebun tropika dan hutan di daerah Hulu Langat.

Apa yang lebih menarik lagi, kawasan ini juga mempunyai gerai makanan dan kedai buah-buahan yang dapat dilihat di sepanjang jalan.

Foto: @hasifamsyari via IG

Para pengunjung juga boleh membawa makanan sendiri untuk dimasak di sini. Ini kerana, mereka menyediakan kemudahan seperti peti sejuk dan peralatan memasak untuk memudahkan anda memasak.

#5 The Sticks, Kuala Kubu Bharu

Foto: @thestickguide via IG

The Sticks merupakan resort eko yang terletak dalam kawasan hutan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Kawasan ini dibina di atas tapak bekas lombong biji timah kerana mengambil kira kelestarian alam sekitarnya.

Kesemua tempat penginapan dalam 12 rumah adalah unik dan dipanggil sebagai ‘tendok’. Tendok adalah gabungan perkataan khemah (tent) dan pondok.

Foto: @thesticksguide via IG

The Sticks turut dibina untuk memberikan pengalaman penginapan yang baik kepada pencinta alam semula jadi selain mengutamakan keselesaan kerana ia dilengkapi dengan katil yang selesa, selimut mewah, kipas siling serta pemanas air.

Tetamu boleh menikmati alam sekitar sambil melakukan aktiviti dan bersantai di buaian, berenang dan terapung di sepanjang sungai atau menjamu selera dengan hidangan lazat yang dimasak sendiri untuk memastikan keselesaan semasa penginapan mereka.

#6 The Hid3out, Batu Caves

Foto: @ashikin_hassan via IG

Terletak di Sungai Tua, Batu Caves Selangor. Para pelancong tidak perlu risau dari segi kemudahan kerana di sini setiap kelengkapan glamping telah disediakan.

Antaranya tilam, tandas serta lain-lain perkhidmatan dan anda juga boleh menggunakan ruang BBQ untuk menyediakan makanan dan menikmati penginapan yang cukup menarik.

#7 Alpine Camp, Hulu Langat

Foto: @ahmadsyauqii via IG

Alpine Camp akan memberikan pengalaman glamping yang indah dengan suasana alam semula jadi yang berlatar belakangkan Sungai Lui serta Gunung Hitam.

Di sini mereka mempunyai lima khemah disediakan dan setiap satunya boleh memuatkan sehingga empat orang.

Alpine Camp juga mempunyai surau dan dewan makan untuk kemudahan pengunjung selain dapat menikmati keindahan sungai berdekatan dan paling penting ia selamat untuk kanak-kanak.

#8 Camp Out, Sunway Lagoon

Foto: @sunwaylagoon via IG

“Camp Out!” adalah perkhemahan yang berkonsepkan glamping pertama di Sunway Lagoon dan ia merupakan yang pertama yang terletak di taman tema,

Ia akan memberikan pengalaman taman tema terbaik di mana ia bermula dari pagi hingga malam. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang lebih menarik daripada pengalaman yang biasa kita lakukan.

Malah, ia lengkap dengan makan malam barbeku, ruang kolam renang peribadi serta peluang untuk tidur di tengah-tengah taman tema Sunway Lagoon! Sudah pasti ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat menarik untuk anda!

Foto: @sunwaylagoon via IG

Kini anda tak perlu lagi tercari-cari tempat penginapan yang unik untuk ‘Staycation’ dan jika anda berada di sekitar kawasan yang terdekat dengan Selangor dan tak mahu ke destinasi yang telalu jauh mungkin lapan lokasi ini adalah pilihan terbaik untuk anda.

Namun, sebelum anda membuat pembayaran atau tempahan anda dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkenaan pakej penginapan yang ditawarkan.

Jika berminat atau sedang mencari percutian lain di sekitar Negeri Selangor anda boleh melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan.

Anda juga boleh ikuti mereka di laman sosial rasmi seperti Instagram, Twitter, Facebook, TikTok serta YouTube untuk mengikuti sebarang kemas-kini.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.