fbpx
Now Reading
Tiada Bekalan Air Bersih, Mangsa Terpaksa Masak Air Banjir Untuk Dijadikan Minuman & Susu Anak

Tiada Bekalan Air Bersih, Mangsa Terpaksa Masak Air Banjir Untuk Dijadikan Minuman & Susu Anak

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi, dari maklumat yang diterima pihaknya, bantuan awal sudah diberikan kepada mangsa melalui wakil Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada 18 Disember yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sejak beberapa hari lalu sedang berdepan gelombang kedua banjir besar iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa daerah di Johor dan Perak ekoran dari hujan lebat yang berterusan.

Banjir di Kelantan sahaja menyebabkan lebih 25,980 mangsa dari 8032 keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dipenuhi air setakat 22 Disember, jam 5.35 petang.

62 mangsa banjir berterduh di sebuah rumah kerana PPS penuh

Keadaan bagaimanapun berbeza buat 62 mangsa banjir di Rantau Panjang apabila terpaksa berlindung di sebuah rumah di Kampung Tasek Bakong sejak Ahad lalu (17 Disember).

Memetik Harian Metro, mereka memilih menetap di rumah itu bersama-sama memandangkan ia satu-satunya kediaman yang tidak dimasuki air di kampung tersebut.

Mereka penduduk terpaksa berbuat demikian kerana PPS berdekatan sudah penuh dengan mangsa banjir yang lain.

Tiada bekalan air bersih

Namun sejak Selasa (20 Disember) mereka berdepan detik sukar apabila terputus bekalan air bersih sehingga terpaksa memasak air banjir untuk dijadikan minuman. Lebih parah lagi apabila air tersebut turut digunakan untuk membuat susu kepada anak kecil.

Menurut seorang mangsa, Muzipah Che Muda, 54, mereka nekad berbuat demikian kerana terlalu buntu memikirkan air minuman yang tidak kunjung tiba, hingga terpaksa menjadikan air banjir sebagai sumber air.

Mengakui tindakan itu tidak begitu baik, mereka bagaimanapun terpaksa melakukannya kerana sudah kehabisan ikhtiar apabila ramai kanak-kanak mula merengek kehausan, begitu juga orang dewasa yang sudah tidak minum sejak beberapa jam.

“Air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya tetap digenangi banjir separas 0.5 meter,” katanya kepada Harian Metro.

Mangsa sudah dibantu, tolak cadangan berpindah

Namun memetik laporan FMT, kesemua 62 mangsa yang terputus bekalan makanan dan minuman sudah pun diberi bantuan.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi, dari maklumat yang diterima pihaknya, bantuan awal sudah diberikan kepada mangsa melalui wakil Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada 18 Disember yang lalu.

“Antara bantuan lain turut diberikan ialah 40 unit toto, 20 bantal, 20 tikar, 40 kotak air mineral, dua unit dapur memasak, 20 kampit beras, makanan ringan dan sebagainya. Bantuan lain juga akan menyusul.”

Bantuan susulan akan diteruskan

Tambah beliau, bantuan susulan kepada penduduk terjejas termasuk mangsa di Kampung Tasek Bakong akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Saya juga terima maklumat mereka berlindung di kawasan surau, lori dan lain-lain selepas terkepung dengan banjir. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada awalnya tidak dapat menyalurkan bantuan kerana tiada akses.”

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Laluan sukar dilalui sebabkan bantuan sukar dihantar

Dalam pada itu, pegawai pusat pemindahan banjir di Rantau Panjang memaklumkan, penduduk kampung itu sebenarnya sudah diminta berpindah. Cadangan tersebut bagaimanapun ditolak oleh mereka.

“Jadi, pihak keselamatan tidak boleh memaksa dan menghormati kehendak penduduk. Kami memahami kegusaran mereka untuk meninggalkan barang-barang di rumah, tetapi bila laluan ke kawasan tersebut sukar dilalui menyebabkan bantuan sukar dihantar,” katanya.

Semakan kami di akaun Facebook MP Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah mendapati beliau tidak henti-henti turun padang membantu mangsa banjir di kawasan parlimen berkenaan.

Namun carian kami tidak menemukan sebarang kemaskini berhubung keadaan terkini 62 mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.