fbpx
Now Reading
Guna Telur Ada Najis Ayam, Kedai Roti Canai Terkenal Di Pulau Pinang Diarah Tutup
Kedai roti canai terkenal diarah tutup 14 hari

Guna Telur Ada Najis Ayam, Kedai Roti Canai Terkenal Di Pulau Pinang Diarah Tutup

Selain didapati menggunakan telur yang terdapat najis ayam untuk menyediakan makanan pelanggan, kedai tersebut turut dikompaun RM500 kerana tidak menghantar pekerja untuk mengambil kursus pengendalian makanan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular satu video di media sosial menunjukkan tindakan seorang penebar roti canai di sebuah kedai roti canai terkenal di George Town, Pulau Pinang telah meletakkan telur ayam yang tidak dibasuh dalam sebuah bekas.

Malah turut kelihatan telur yang sudah pecah juga disertakan dalam bekas yang sama. Individu itu kemudian menggunakan telur dari bekas berkenaan untuk membuat roti canai bagi dihidangkan kepada pelanggan.

Perkara itu secara tidak langsung telah memberikan pelbagai reaksi di kalangan orang ramai yang kurang selesa dengan tindakan tersebut.

Premis diarahkan tutup selama dua minggu

Terbaharu, premis yang terletak di Jalan Transfer itu diarah tutup selama dua minggu berkuat kuasa dari 2 hingga 16 Januari disebabkan tidak mempunyai tahap kebersihan yang memuaskan.

Memetik laporan Harian Metro, notis bagi penutupan premis berkenaan telah dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Kompaun RM500 dikenakan, didapati guna telur ada najis ayam

Kedai tersebut turut dikenakan kompaun sebanyak RM500 disebabkan gagal menghantar kakitangannya untuk mengambil kursus pengendalian makanan.

Bagi tahap kebersihan pula didapati tidak memuaskan selain turut menggunakan telur yang terlekat najis ayam ketika membuat makanan pelanggan.

Selain premis roti canai, gerai minuman berdekatan juga dikenakan kompaun bernilai RM500 selepas dikesan mempunyai pencemaran silang pada peti penyimpanan ais.

Pemeriksaan itu dijalankan oleh pihak BKKM sekitar jam 11 pagi semasa kedai berkenaan dipenuhi dengan pelanggan yang ingin menjamu selera di premis tersebut.

Foto: BKKM Pulau Pinang

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh pihak Harian Metro turut mendapati orang ramai masih beratur di premis berkenaan walaupun tahu pemeriksaan kebersihan sedang dijalankan oleh lapan pegawai dan anggota BKKM.

Kena kompaun pada 2019, pengusaha kedai mohon maaf pada pelanggan

Foto: BKKM Pulau Pinang

Pada 2019, kedai tersebut pernah dikenakan kompaun disebabkan mengabaikan kebersihan namun ia tidak ditutup kerana mempunyai persekitaran yang berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, pemilik premis tersebut, Shahjahan Abdul Hamid menyatakan bahawa dia akur dengan arahan yang diberikan selain turut meminta maaf kepada para pelanggan.

Jelasnya, tempoh penutupan itu akan digunakan untuk membersihkan premis tersebut.

“Pekerja lama sudah pulang ke India, pekerja sedia ada mempunyai sedikit masalah,” ujarnya.

Difahamkan, pemeriksaan itu dijalankan sebagai insiatif pihak berkenaan susulan tular video mengenainya di media sosial.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.