“Tapi Saya Bayar..” – Wanita Selamba Rakam Filem Dalam Wayang, Siap Tayang Di TikTok
Bukan setakat merakam, wanita tersebut turut mempersoalkan tindakan “pekerja panggung wayang” yang mahu memeriksa telefonnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum pasti mengetahui merakam filem dalam panggung wayang merupakan satu kesalahan. Bahkan sebelum sesuatu filem ditayangkan, pengusaha pawagam pasti akan menyediakan sekurang-kurangnya satu iklan dan pesanan berhubung larangan tersebut.
Namun semua ini seolah-olah tidak cukup untuk memberikan kesedaran apabila masih ada segelintir rakyat Malaysia yang berani merakam video di dalam panggung wayang dan lebih parah lagi memuatnaiknya di media sosial.
Terbaharu tular video di Twitter yang dikongsikan seorang pengguna, Ahmad Syafiq memperlihatkan seorang wanita ditegur oleh seorang lelaki yang dikatakan staf sebuah panggung wayang kerana merakam filem thriller tempatan, Eva (Take Me As I Am) lakonan Nadia Aqilah, Nadia Brian dan Shamsul Danish yang sedang ditonton di dalam pawagam.
Apa yang mengejutkan, wanita ini yang hadir bersama temannya dilihat menafikan perkara tersebut selain ‘melawan’ apabila diarah untuk menghentikan rakaman.
Bukan itu sahaja dia turut mempersoalkan tindakan lelaki tersebut yang mahu memeriksa telefonnya.
“Apasal pula tak boleh rekod? Tapi saya bayar.
“Kenapa awak nak check telefon saya pula. Apa hak awak?,” soalnya kepada pekerja panggung wayang itu.
Tambah Syafiq lagi, wanita berkenaan juga ada memuat naik beberapa sedutan filem tersebut di TikTok miliknya.
“Korang tengok la lagak dia tu. Tak mengaku, tapi TikTok penuh dengan rakaman filem, kata Syafiq di Twitter.
Guna alasan rekod dan muat naik sedutan filem Eva untuk promosi
Menerusi semakan kami, dakwaan Syafiq sememangnya benar kerana pengguna TikTok itu dilihat ada berkongsikan beberapa sedutan filem itu dengan menggunakan alasan untuk mempromosikannya.
Namun agak mengejutkan, apabila seorang dari mereka ada membuat pengakuan bahawa dia tahu perbuatan merakam di dalam panggung wayang adalah tidak dibenarkan.
Ini jelas berbeza dengan jawapan yang diberikan oleh rakannya kepada pekerja panggung wayang tersebut.
“Sekarang ni kami dalam wayang tengah tengok satu cerita ni, sumpah best gila. Sebenarnya dalam wayang tak boleh rekod, jadi kami akan rakam sikit-sikit, tak boleh penuh nanti orang nampak.”
Pendedahan yang dilakukan Syafiq ternyata menarik perhatian ramai pengguna Twitter. Ramai yang mengecam tindakan dua sekawan ini dan ada juga yang mahu mereka dikenakan tindakan.
Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada TGV selaku pengusaha panggung wayang terlibat.
Namun TVG menerusi satu ciapan balas meminta Syafiq untuk memberikan butiran tarikh, masa dan lokasi bagi tujuan semakan.
Kami sendiri tidak dapat memastikan apakah isu itu hanyalah satu stunt untuk tujuan pemasaran atau ianya benar-benar berlaku.
Selain itu tiada juga bukti yang dapat mengesahkan lelaki berkenaan adalah pekerja panggung wayang.
Berikut antara komen menarik yang diberikan netizen:
Sebagai info, individu yang didapati merakam filem di dalam pawagam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Mereka yang merakam sedutan filem boleh dikenakan denda tidak kurang dan tidak lebih dari RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala mereka yang melakukan curi rakam secara keseluruhan tayangan tanpa kebenaran boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.