Tak Kira Bangsa, Tindakan Penunggang Motosikal Bergilir-gilir Tunda Motor Rosak Buat Ramai Tersentuh [Video]
Tindakan rider motosikal menunda motor yang mengalami kerosakan akibat mengalami masalah rantai menunjukkan semangat perpaduan antara masyarakat Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Motosikal merupakan antara kenderaan yang sering digunakan oleh rakyat Malaysia.
Malah kebanyakan mereka lebih memilih untuk menaiki motosikal untuk sampai ke destinasi lebih cepat agar tidak terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas terutama bagi individu yang bekerja di bandar.
Namun adakalanya motosikal yang dipandu mungkin akan mengalami beberapa masalah yang tidak boleh dijangka seperti tayar bocor, jalan licin, rantai putus dan sebagainya.
Semangat perpaduan ditunjukkan rider buat ramai tersentuh
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh dua orang penunggang motosikal untuk membantu sepasang individu yang mengalami kerosakkan motor.
Menerusi video dashcam dikongsikan oleh Jon Le, kelihatan pasangan dipercayai berbangsa India sedang berhenti di tepi jalan bersama motosikalnya.
Prihatin dengan situasi itu, Jon Le kemudian berhenti dan bertanya apakah masalah mereka sebelum lelaki itu menjawab rantai motosikalnya terputus. Dia lalu turun dari motosikal untuk membantu individu berkenaan mengeluarkan rantai tersebut.
“Terjumpa dia (pasangan) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, rantai longgar teruk,” katanya.
Tunda motosikal di lebuhraya sebelum dibantu rider lain
Sebaik sahaja rantai itu dapat dikeluarkan dia kemudian menunda motosikal tersebut menggunakan kaki ketika di lebuhraya.
“Akhirnya rantai motor dia dapat dikeluarkan. Perlu tunda cara Malaysia (menggunakan kaki).
“Nasib baik, saya pernah belajar cara ni dari kawan-kawan berbangsa Melayu,” jelasnya di dalam video.
Apa yang mengharukan, ketika Jon sedang berusaha menunda motosikal tersebut datang sebuah lagi motosikal yang ditunggang oleh lelaki Melayu yang turut membantu menunda motor tersebut.
Mereka kemudian berjalan di hadapan sebelum Jon menyambung semula menunda motor tersebut kerana individu itu ingin keluar ke arah berlainan.
“Abang perlu exit (keluar) dah, saya sambung tunda.”
Namun, tidak lama kemudian datang dua lagi rider yang cuba membantu menunda motosikal tersebut.
Nasihat orang ramai jangan putus ada jika berdepan cabaran
Melihat sikap saling bantu membantu itu Jon dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak berputus asa jika berdepan dengan cabaran kerana yakin ia pasti mempunyai jalan penyelesaian.
“Ada lagi (motosikal kedua yang datang membantu) warga Bangladesh kalau tak silap saya. Satu lagi! (motosikal ketiga yang datang membantu).
“Terima kasih bro! (dua individu tersebut).
“Jangan berputus asa bila berdepan cabaran hidup, segala cabaran pasti ada penyelesaian. Pegang teguh pada kepercayaan ni,” katanya lagi.
Melihat di ruangan komen, ramai yang sebak melihat situasi tersebut dan menyifatkan mereka bangga dengan sikap saling bantu membantu yang tunjukkan oleh kesemua rider itu.