Ibu ‘Buang’ Anak Umur 11 Tahun Selepas Berkahwin Dengan Suami Baru
Ibu kanak-kanak berkenaan dipercayai bertindak demikian hanya kerana tidak mahu membuat suami baharunya marah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Apabila bercakap mengenai kasih sayang sejati, pastinya wajah pertama yang akan muncul adalah ibu. Ini kerana ibu merupakan individu yang melahirkan setiap manusia di muka bumi.
Ekoran daripada ini, kebanyakan ibu di dunia mempunyai hubungan yang amat rapat dan turut meletakkan anak-anak sebagai perkara yang utama dalam kehidupan.
Namun, lain pula dengan kisah seorang kanak-kanak malang ini yang ‘dibuang’ oleh ibunya setelah berkahwin lain dengan suami baharu.
Suami Baharu Anggap Anak Sebagai ‘Masalah’
Menerusi perkongsian di Facebook oleh salah seorang pengurus Pertubuhan Kebajikan TBQ Amal Herman Sudil, seorang ibu tergamak membuang anak perempuan yang berusia 11 tahun setelah bernikah dengan suami baharu.
Ibu kanak-kanak berkenaan dipercayai bertindak demikian hanya kerana tidak mahu membuat suami baharunya marah.
Malah, suami yang tidak sampai setahun dikahwini itu turut menganggap kanak-kanak perempuan itu sebagai satu ‘masalah’.
Menerusi hantaran yang dibuat, difahamkan suami yang dikahwini oleh ibu kanak-kanak berkenaan merupakan bapa tiri yang kedua. Kanak-kanak itu dikatakan tidak mempunyai masalah dengan bapa tiri yang pertama.
Ada Sebab Kanak-Kanak Tidak Mahu Tinggal Serumah
Menurut Herman, kanak-kanak tersebut mempunyai sebab untuk tidak mahu tinggal serumah bersama-sama bapa tirinya. Dia juga dikatakan sanggup menunggu ibunya pulang kerja sebelum masuk ke rumah.
“Sanggup tunggu emak balik kerja 11 malam, kelaparan dari balik sekolah tengah hari dan tunggu di luar sebab tak nak ada serumah dengan bapak tiri,” tulis beliau menerusi ruangan kapsyen.
Malah, kanak-kanak perempuan itu juga dikatakan lebih memilih untuk pergi ke rumah guru wanita jika lari dari rumah. Bahkan dia juga langsung tidak memilih untuk melepak bersama rakan-rakannya.
Bagi Herman, kanak-kanak tersebut mempunyai sebab yang tersendiri untuk tidak mahu tinggal bersama bapa tiri tanpa kehadiran ibunya.
Ibu Rela Hati Serahkan Anak
Menerusi hantaran sama, Herman berkata salah seorang pengurus wanita rumah perlindungan kanak-kanak sedang mendapatkan kebenaran daripada balai polis untuk menempatkan kanak-kanak berkenaan di bawah jagaan mereka.
Apa yang lebih mengesalkan, semasa proses dokumentasi, ibu kanak-kanak tersebut dengan rela hatinya menandatangani kesemua dokumen untuk proses penyerahan anak perempuannya itu.
Geram dengan tindakan ibu terbabit, Herman berpendapat seorang ibu sepatutnya mempertahankan anak terutama setelah mempunyai suami yang baharu.
“Emak tak boleh fikir ke mungkin ada sesuatu yang menyebabkan anak itu tak nak duduk serumah dengan bapak tiri tanpa kehadiran emak. Ini bapak tiri ke dua. Sebelum ini bapak tiri yang lain ok aje dia tak buat masalah. Tolong lah jadi orang tua pertahankan anak.” tulis Herman menerusi ruangan kapsyen.
“Jangan pandai buat anak tetapi b*d*h menjaga anak. Jangan sedap nak kahwin aje tetapi b*d*h nak pertahankan anak!” tulisnya lagi di ruangan kapsyen.
Namun, beliau sempat memohon maaf di atas kekasaran hantaran itu. Baginya, dia tidak memahami sikap sesetengah ibu yang sanggup mengabaikan anak yang merupakan amanah Tuhan.
Bagi beliau, anak merupakan rezeki kurniaan Allah. Justeru, manusia tidak akan miskin jika mendidik serta membela anak.
“Saya yakin anak ini ada rezekinya yang Allah dah tetapkan dan insyaAllah tak akan miskin kita bila jaga anak ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bengang dan geram dengan sikap ibu kanak-kanak yang sanggup mengabaikan anaknya semata-mata untuk menjaga suami yang baharu.
Malah, ada juga yang berasa kasihan dengan nasib yang menimpa kanak-kanak itu dan sanggup untuk menjaganya.
Tunggulah Mak Tu Tua Nanti, Masa Tu Mulalah Guna Status Emak Minta Simpati
Budak Inipun Bijak Jaga Keselematan Diri, Rasanya Mungkin Dia Takut Diapa-apakan Oleh Bapa Tiri
Ya Rabbi Mak Apa ni? Itu Asal Darah Daging Kau, Satu-Satunya 100% Membesar Dalam Badan Kau
Baca Artikel Berkaitan: Budak Perempuan Umur 1 Tahun 11 Bulan Didera Teman Lelaki Ibu Hanya Kerana Bising, Suspek Sudah Ditahan
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Perempuan Dakwa Dicabul Bapa Tiri & Sering Dipukul Ibu