fbpx
Now Reading
Harapan Tunai Haji Musnah, Wang Simpanan RM30,000 Warga Emas Habis Rosak Dimakan Anai-Anai

Harapan Tunai Haji Musnah, Wang Simpanan RM30,000 Warga Emas Habis Rosak Dimakan Anai-Anai

Menurut cucunya, Khairul mereka tidak mengetahui warga emas itu ada menyimpan wang di dalam kain bawah kotak di rumahnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap insan sudah tentu mempunyai impian untuk melaksanakan ibadah haji iaitu rukun Islam kelima.

Oleh itu, pelbagai cara dilakukan dalam mempersiapkan diri untuk menunaikan haji di tanah suci antaranya adalah dengan menyimpan wang untuk menampung kos ke sana.

Perkara itu samalah seperti apa yang dilakukan oleh seorang warga emas ini. Namun hajatnya tidak kesampaian apabila wang yang disimpan untuk ke Mekah rosak kerana dimakan oleh anai-anai.

Duit simpanan hasil dari jualan kuih secara kecil-kecilan

Wang yang telah di simpan oleh nenek yang bernama Zainab Sulong atau mesra dipanggil Mek Nab adalah RM30,000.

Menurut cucunya iaitu Khairul Azhar Mat Nawi wang simpanan itu adalah hasil titik peluhnya menjual kuih secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami memang tahu nenek hendak pergi haji tahun depan dengan syarikat swasta, saya fikir mungkin duitnya sudah cukup.

“Tetapi kami tak tahu rupanya dia ada simpan duit sebanyak tu dalam kain bawah kotak di rumahnya dan kalau tahu tentu kami tak benarkan.

“Nenek saya pun sudah tua usianya 72 tahun, mungkin dia berasa lebih mudah simpan dalam rumah berbanding ke bank,” ujarnya dipetik Harian Metro.

Kejadian disedari selepas dimaklumkan oleh ibu

Jelas Khairul, kejadian wang dimakan anai-anai itu diketahui oleh mereka selepas dimaklumkan oleh ibunya, Zainab Rahim menerusi aplikasi WhatsApp dalam grup keluarga pada 21 Julai lalu.

“Mak duduk dengan saya di Gua Musang, manakala nenek tinggal di rumahnya di Rantau Panjang.

“Minggu lalu, mak ada balik ke Rantau Panjang selepas nenek menghubunginya memberitahu apa yang berlaku.

“Duit itu bercampur mata wang Malaysia dan Thailand dengan nilainya mencecah RM30,000. Mungkin nenek sudah lama tak buka untuk tengok duit itu menyebabkan dimakan anai-anai,” ucapnya lagi.

Wang rosak akan hantar kepada bank untuk dinilai

Kata Khairul wang itu akan dihantar kepada bank bagi proses penilaian kerosakan.

“Sebenarnya saya sudah pergi sebuah bank di Gua Musang bertanyakan isu ini dengan hanya menunjukkan gambar duit itu, namun pihak bank memberitahu kemungkinan tidak dapat penukaran duit baharu selepas melihat kepada tahap kerosakannya.

“Saya difahamkan, jika nilai kerosakan duit itu melebihi 50% memang tak boleh buat apa-apa, namun apapun nilai kerosakan akan dinilai semula dengan melihat duit sebenar.”

Buat kutipan antara adik-beradik untuk ganti semula wang yang rosak

Malah mereka sekeluarga juga bercadang untuk membuat kutipan bagi menggantikan semula duit neneknya selain turut memaklumkan neneknya sedih apabila wang yang disimpan habis rosak gara-gara dimakan serangga tersebut.

“Memang nenek sedih kerana duit simpanannya itu rosak, tetapi kini dia boleh menerinya mungkin tiada rezekinya kali ini.

“Kami adik-beradik bercadang membuat sesama kami untuk menggantikan duit itu dengan sebagai permulaan kami mahu menghantar nenek pergi umrah dulu tahun depan,” jelas cucu Mek Nab itu.

Khairul dalam masa sama berharap agar kejadian itu menjadi pengajaran buat orang lain agar membuat simpanan wang di tempat yang betul.

Sebelum ini, Khairul yang juga seorang guru Sains Sosial yang berkhidmat di sebuah Sekolah Menengah di Gua Musang, Kelantan turut berkongsi kisah wang simpanan neneknya itu di Facebook.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.