PRN: Warga Emas Dakwa Suami OKU Jadi ‘Mangsa’, Petugas SPR Pangkah Undi Tidak Seperti Yang Dikehendaki [Video]
Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Saleh, pihaknya bagaimanapun belum menerima laporan berhubung insiden membabitkan warga emas dan petugas SPR terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui hari ini (12 Ogos), rata-rata rakyat Malaysia di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam kemeriahan tersebut, timbul beberapa insiden antaranya penangguhan sementara proses pengundian di Paya Terubong, Pulau Pinang. Ia bagaimanapun disambung semula beberapa jam kemudiannya.
Selain itu seorang wanita di Kedah mendakwa tidak dapat mengundi selepas seorang individu membuang undi menggunakan kad pengenalan miliknya.
Baca artikel berkaitan: Proses Pengundian Paya Terubong Dihentikan Gara-Gara Peti Undi Tidak Berkunci
Baca artikel berkaitan: PRN: “Pengundi Hantu Itu Wujud” – Wanita Di Kedah Kecewa Tak Dapat Mengundi, Dakwa IC Diguna Individu Lain
Terbaharu tular di media sosial dakwaan seorang warga emas di Kedah yang tidak berpuas hati dengan seorang petugas (Suruhanjaya Pilihan Raya) SPR yang membantu suaminya, seorang orang kurang upaya (OKU) ketika membuang undi.
Menurut wanita tersebut, petugas itu menanda undi pada kotak berbeza yakni calon yang lain, tidak seperti mana yang dikehendaki suaminya.
Mulanya masuk bersama tapi petugas maklum sedia bantu si suami
Menerusi video itu, wanita itu mendakwa dia pada mulanya masuk ke tempat mengundi bersama suaminya.
Namun ketika mahu membuang undi, seorang petugas tampil menawarkan diri untuk membantu suaminya agar wanita itu dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk mengundi.
Walaubagaimanapun sebaik selesai, suaminya yang tidak mampu bercakap keluar dalam keadaan marah.
Dakwanya petugas terbabit telah menanda pada kotak yang salah walhal dia sebenarnya mahu mengundi calon yang lain.
“Dia (suami) nak undi PN, tapi ada seorang petugas kata ‘makcik pergi sebelah sana, sini saya tolong’.
“Saya pergilah (undi) di tempat saya. Tapi bila keluar suami saya marah, aku nak undi yang atas petugas tu buat yang bawah.
“Suami saya tak nyanyuk lagi, tapi dia tak boleh bercakap,” dakwa makcik itu.
Difahamkan insiden tersebut berlaku di sebuah pusat mengundi bagi DUN Sungai Tiang, Pendang.
Polis minta wanita dan petugas SPR tampil buat laporan
Dalam pada itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ada mengesan penularan video terbabit.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Saleh dalam satu sidang media berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima apa-apa laporan berhubung insiden berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta individu di dalam video tular berkenaan untuk tampil membuat laporan berhubung isu tersebut bagi memudahkan siasatan dilakukan.
“Beliau mendakwa petugas tersebut telah menanda undi tidak sepertimana yang dikehendaki suaminya. Walaubagaimanapun, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan samada dari pihak mangsa mahupun petugas SPR. Pihak polis menasihati pihak yang berkenaan agar membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.”
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh.