fbpx
Now Reading
“KFC dan Kerajaan Tidak Terlibat..” – Individu Mengaku Bawa Pelajar Tahfiz Ke Konsert KEPCI Music Fest

“KFC dan Kerajaan Tidak Terlibat..” – Individu Mengaku Bawa Pelajar Tahfiz Ke Konsert KEPCI Music Fest

Menurut Andrie Ung Han Xiang, dia menyangkakan tema festival muzik yang turut diserikan dengan kehadiran penyanyi, Siti Nurhaliza dan Bunga yang berpenampilan sopan boleh dihadiri semua lapisan rakyat Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini media sosial hangat memperkatakan mengenai video sekumpulan pelajar tahfiz yang dijemput hadir ke KEPCI Music Fest di Stadium Malawati, Shah Alam.

Apa yang mencuri perhatian orang ramai adalah kehadiran kanak-kanak itu ke sana lengkap dengan pakaian berjubah dan berserban walhal acara tersebut adalah majlis hiburan.

Situasi ini menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk golongan agamawan hingga ada yang menyifatkan pihak yang menjemput mereka sebagai tidak sensitif.

Baca artikel berkaitan: Persembahan Coex Ditonton Oleh Pelajar Tahfiz Buat Ramai Tepuk Dahi [Video]

Kumpul sumbangan bawa 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan

Terbaharu seorang lelaki yang dikenali sebagai Andrie Ung Han Xiang tampil membuat pengakuan bahawa dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa kumpulan kanak-kanak tersebut.

Malah dia turut menjelaskan kehadiran pelahar tahfiz itu tiada kaitan dengan pihak penganjur mahupun kerajaan bahkan perkara tersebut turut tidak dimaklumkan kepada mereka.

Menurut Andrie, dia bersama rakan berjaya mengumpul sumbangan bagi membawa kira-kira 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan seluruh negara ke festival itu.

“Inisiatif ini adalah sepenuhnya dari pihak saya yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman menghadiri festival tersebut dan diraikan bersama-sama. Saya dengan bantuan dan sumbangan dari rakan-rakan telah berjaya mengumpulkan seramai 700 orang anak-anak yatim dari 22 buah rumah anak-anak yatim seluruh negara.”

Sangka tema festival muzik boleh dihadiri semua lapisan masyarakat

Tambah individu itu lagi, tujuan mereka menjemput kanak-kanak itu adalah ikhlas demi memeriahkan majlis selain atas dasar cakna kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan.

Malah mereka menyangkakan tema festival muzik yang turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza boleh dihadiri semua lapisan rakyat Malaysia.

“Tujuan kami adalah ikhlas dan jelas untuk menjemput mereka bersama-sama untuk memeriahkan festival tersebut yang turut menyediakan permainan kanak-kanak iaitu ‘Bouncing Castle’ dan lain-lain. Kami juga turut difahamkan bahawa konsert tersebut akan dihiburkan oleh penyanyi No. 1 Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Bunga yang berpenampilan sopan dan bertudung. Selain itu, kami turut difahamkan bahawa acara tersebut akan turut dihadiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Menurut perkiraan kami, tema festival tersebut adalah dibenarkan dan boleh dihadiri oleh semua warga Malaysia.

Hanya mahu hiburkan mereka

Mengulas lanjut, Andrie menjelaskan kanak-kanak yang hadir di situ adalah dari sebuah pusat tahfiz di TTDI Jaya, Selangor dan mereka adalah anak kepada warga asing.

Dia bagaimanapun meminta semua pihak khususnya orang Islam agar cakna dengan kebajikan kanak-kanak ini kerana tujuan mereka hanya untuk menghiburkan mereka.

“Mereka ini adalah dari anak-anak pelarian beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu. Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana di dalam Islam sendiri tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram mereka. Kami juga mohon agar pihak berwajib dan orang Islam supaya lebih cakna akan kebajikan anak-anak ini.

“Sekali lagi ingin saya tegaskan, kami adalah ikhlas dalam mengajak anak-anak yatim tersebut menghadiri festival tersebut kerana kita perlu cakna akan semua tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan.”

Tambah individu itu lagi, pihaknya turut berdukacita di atas ketidakpuasan hati dan perasaan tersinggung dari pihak-pihak tertentu yang terkesan dengan isu yang tertular ini.

Anak tahfiz kebiasaannya dijemput ke majlis keramaian dan keagamaan

Kebiasaannya, kanak-kanak tahfiz di Malaysia akan dijemput menghadiri majlis keramaian hinggalah majlis keagamaan.

Selain itu ada juga usahawan dan selebriti yang menaja anak tahfiz untuk melakukan umrah antaranya Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Vida.

Namun ada juga yang mencuba sesuatu yang berbeza dengan membawa sekumpulan anak tahfiz menonton wayang antaranya seorang individu yang dikenali sebagai Khairul Idlan.

Difahamkan Khairul membawa kanak-kanak tahfiz itu menonton filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada Julai tahun lalu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.