Aktivis dan pendakwah bebas, Ebit Lew (UEL) tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya difitnah secara melampau.
Ebit Lew menerusi satu hantaran di Facebook berkata, laporan itu dibuat sekitar jam 12 malam tadi sebaik tiba dari Jeddah.
“Baru sampai dari Jeddah 12 malam tadi terus ke balai polis buat laporan mengenai fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas ke atas diri saya,” kata Ebit Lew.
Menerusi foto yang dikongsikan, laporan itu dipercayai dilakukan di sebuah balai polis di Subang Jaya.
Serah kepada polis dan peguam
Menurut Ebit Lew lagi, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa dan peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
“Saya serahkan pihak polis untuk mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada ruangan kapsyen.
Meskipun tidak menjelaskan secara lanjut, ramai percaya laporan polis itu ada kaitan dengan satu podcast wawancara melibatkan seorang selebriti tempatan bersama seorang wanita dari negara jiran yang sebelum ini pernah dibantunya.
Di dalam podcast tersebut, wanita berkenaan mendakwa telah menjadi mangsa gangguan seksual seorang ustaz terkenal dari Malaysia sewaktu datang ke Malaysia pada awal tahun ini.